Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat acara perahu tradisional di Karnival Ban Canal 2023 di Parit 14, Sabak Bernam pada 10 Disember 2023. Foto: FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Karnival Ban Canal Sabak Bernam dicadang jadi acara tahunan

SHAH ALAM, 10 JULAI: Karnival Ban Canal (KBC) Sabak Bernam dicadang menjadi acara tahunan dan dimasukkan dalam kalendar Tahun Melawat Selangor 2025.

EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail berkata karnival berkenaan yang berjaya menarik 13,889 pengunjung tahun lalu diteruskan pada 15 hingga 17 November tahun ini.

“Ekopelancongan ban canal akan mengekalkan identiti asal dan tidak memberi gangguan radikal kepada kelestarian dan ekosistem alam semula jadi,” katanya ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal RS-1 di Dewan Negeri Selangor semalam.

EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan & Pengguna Datuk Rizam Ismail

Dalam perkembangan lain, Rizam berkata ekopelancongan ban canal antara 18 Projek, Program dan Inisiatif (PPI) yang didaftarkan di bawah Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA).

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri terus melaksanakan penambahbaikan kawasan dan fasiliti pelancongan serta penyediaan pelan promosi pelancongan kelip-kelip Sungai Panjang.

“Di bawah SABDA, pembinaan jambatan Sungai Air Tawar-Hutan Melintang juga bakal menerima kesan limpahan ekonomi berikutan projek pembinaan yang akan menghubungkan daerah Sabak Bernam dan Bagan Datuk.

“Projek ini akan meningkatkan ketersambungan dan membantu pembangunan ekosistem ekonomi dan logistik yang akan memberi manfaat kepada penduduk sekitar dengan kos RM210.2 juta yang dijangka siap selewat-lewatnya November 2026,” katanya.

Acara perahu tradisional antara aktiviti yang diadakan di Karnival Ban Canal 2023 di Parit 14, Sabak Bernam pada 10 Disember 2023. Foto: FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Rizam menambah 12 PPI masih dalam peringkat perancangan konsep dan inisiatif termasuk industri hiliran hasil laut dan agro makanan@Sungai Lang, kompleks pendaratan hasil laut Sekinchan dan segi tiga ekopelancongan Sungai Air Tawar.

“Selain itu kompleks jeti nelayan Bagan Sungai Besar dan ladang agro pintar Selangor (SSAF)@Sungai Panjang dan Jelutong Jati,” katanya.

SABDA antara agenda terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang diumum pada Julai 2022 membabitkan pembangunan tanaman bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi.

Pembangunan berkeluasan 1,317 hektar dengan nilai pelaburan RM1.9 bilion dianggar memberi pulangan hasil RM248 juta setahun.

 


Pengarang :