EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim meninjau perkembangan projek penstabilan cerun di tapak insiden tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor pada 18 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SEANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lima PBT diminta pantau cerun berisiko untuk tindakan lanjut

SHAH ALAM, 10 JULAI: Laporan beberapa kawasan cerun berisiko yang dikenal pasti dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim menjelaskan laporan itu diserah kepada Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

“Kita telah memanjangkan kepada PBT bagi kawasan Hulu Langat, Hulu Selangor dan Gombak. Terbaru, Subang Jaya juga termasuk disebabkan berlakunya beberapa kes cerun (runtuh),” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Sebelum ini, Izham berkata pihaknya mengenal pasti lokasi cerun berisiko runtuh di jalan sekitar Hulu Langat, Hulu Selangor, Gombak dan Subang Jaya.

Jelasnya, laporan itu diperoleh hasil keputusan cerapan jawatankuasa pemantauan cerun yang diketuainya susulan banyak aduan diterima.

“Jawatankuasa turut dianggotai Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Mineral dan Geosains yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam aspek pemantauan cerun selain disertai PBT dan Pejabat Tanah dan Daerah,” katanya.


Pengarang :