Foto Arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Pesara guru rugi lebih RM150,000 ditipu sindiket pelaburan mata wang

BATU PAHAT, 10 JULAI: Pesara guru kerugian lebih RM150,000 akibat diperdaya sindiket pelaburan mata wang digital tidak wujud yang menggunakan taktik menarik penyertaan orang ramai melalui media sosial.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata mangsa yang juga wanita berusia 56 tahun terjerat selepas melihat iklan pelaburan dalam Telegram oleh tiga syarikat yang menawarkan keuntungan berlipat ganda, 26 Mac lalu.

Katanya, mangsa yang berminat dengan tawaran pelaburan itu kemudian berhubung dengan seorang individu tidak dikenali menerusi WhatsApp.

Susulan itu, beliau berkata, mangsa diberikan satu pautan laman sesawang berkaitan pelaburan dan diminta memasukkan maklumat peribadi ke dalam platform berkenaan.

“Sepanjang tempoh antara 29 Mac hingga 6 Julai lalu, mangsa dikatakan membuat pemindahan wang ke dalam 34 akaun berbeza secara berperingkat sehingga mencecah jumlah RM156,850.

“Selepas melihat terdapat perolehan keuntungan dalam akaun pelaburan miliknya, mangsa cuba mengeluarkannya tetapi suspek didakwa berdolak-dalih.

“Suspek dikatakan memberi pelbagai alasan, sebaliknya meminta mangsa membuat tambahan pembayaran tetapi wanita itu tidak menuruti permintaan berkenaan kerana baru sedar dia ditipu,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian.

Shahrulanuar Mushaddat, mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Yong Peng kelmarin dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Pengarang :