Muhammad Akil Syauqi, 3, disahkan meninggal dunia pada 10 Julai 2024 ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Budak tiga tahun makan keropok beracun meninggal dunia, adik masih dirawat

KULIM, 10 JULAI: Seorang daripada dua beradik lelaki yang kritikal selepas termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar di Kulim, Ahad lalu meninggal dunia pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Mohd Azizul Mohd Khairi berkata mangsa Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, meninggal dunia 8.30 pagi tadi, di Hospital Pulau Pinang.

“IO (pegawai penyiasat) sedang dalam perjalanan ke hospital berkenaan,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Semalam, ibu kanak-kanak itu Nurain Hasnorizal, 25, dilaporkan berkata anak sulungnya itu didapati paling kritikal berbanding adiknya Muhammad Luth Syauqi, 2, kerana langsung tidak memberi tindak balas.

Media sebelum ini melaporkan dua beradik lelaki kritikal selepas dipercayai termakan keropok yang mengandungi racun tikus dan kejadian disedari ibu mereka pada 11 pagi selepas mendapati anak-anaknya muntah dan mulut berbuih.

Kedua-dua mangsa dipercayai mengambil satu paket keropok mengandungi racun tikus yang digantung pada dawai besi di sekeliling pagar kebun berdekatan rumah mereka, dipercayai digunakan untuk memerangkap monyet.

– BERNAMA

 


Pengarang :