Petugas Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menangkap seekor lembu berkeliaran di kawasan larangan sekitar Kuala Langat pada 20 Disember 2022. Foto Facebook MPKL
EXCOSELANGOR

EXCO: Enakmen kawal ternakan berkeliaran dimuktamad sebelum 31 Disember ini

SHAH ALAM, 10 JUL: Draf pindaan Enakmen Mengawal Lembu Kerbau 1971 berkenaan haiwan berkeliaran dijangka dimuktamadkan sebelum hujung tahun ini, kata exco pertanian.

Ir Izham Hashim berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor dengan kerjasama Pihak Berkuasa Negeri (PBN) kini dalam proses penyediaan draf Kaedah-kaedah Pelesenan Penternakan Lembu Kerbau supaya tindakan penguatkuasaan berkaitan isu haiwan berkeliaran dapat dilaksanakan secara efektif dan teratur.

Beliau menjelaskan cadangan pindaan enakmen Seksyen 5 (1) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971 menaikkan jumlah denda dari RM1,000 hingga RM10,000 buat pemilik yang tidak bertanggungjawab.

“Undang-undang subsidiari ini dijangka dimuktamadkan sebelum 31 Disember ini tertakluk keputusan kamar Penasihat Undang-Undang Negeri.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Ir Izham Hashim menjawab soalan dalam Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 9 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Kemudian, Kerajaan Negeri akan melaksanakan sesi penerangan dan libat urus membabitkan pihak berkepentingan seperti pemimpin masyarakat, golongan penternak dan agensi kerajaan dalam tempoh enam bulan sebelum penguatkusaan dilaksanakan di seluruh negeri,” katanya pada Sidang Dewan Negeri hari ini.

Ir Izham menambah kadar penalti untuk tindakan haiwan berkeliaran akan ditentukan selepas mengambil kira pelbagai aspek dan pandangan daripada pihak berkepentingan.

“Isu lembu berkeliaran hingga ke pasar raya, hospital dan jalan raya merupakan isu besar yang perlu diselesaikan. Enakmen sedia ada melihat kelemahan proses pemberian pelesenan.

“Melalui pindaan ini, pemberian pelesenan akan diberi mengikut syarat yang lebih teratur,” katanya.


Pengarang :