AGENDANASIONAL

PLKN 3.0 mula pertengahan tahun depan dengan konsep, format baharu

SHAH ALAM, 10 JULAI: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dengan konsep dan format baharu dijadual bermula sekitar Jun atau Julai tahun depan, maklum menteri pertahanan.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pra-PLKN diperkenal di peringkat sekolah untuk pelajar tingkatan empat, PLKN asas selepas remaja berusia 17 tahun dan ke atas selain peluang menjalani fasa latihan lanjutan.

Mengulas lanjut katanya pra-PLKN dilaksanakan semasa kegiatan ko-kurikulum bersama pelaksanaan modul GenMadani oleh Kementerian Pendidikan bermula Jun atau Julai tahun depan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Foto BERNAMA

“Bagi PLKN asas remaja berusia 17 tahun dan ke atas dipilih untuk menjalani fasa latihan asas di 13 kem Askar Wataniah seluruh negara, 20 universiti awam dan beberapa politeknik.

“Projek rintis fasa PLKN asas pula bermula pada Jun atau Julai 2025 melibatkan dua kem Wataniah dengan sasaran penyertaan seramai 1,000 peserta.

“Manakala bagi PLKN asas dijangka akan dimulakan pada April 2026 di kem Askar Wataniah selama 45 hari dan PLKN asas di IPTA (institusi pengajian tinggi awam) bermula pada pengambilan pelajar sesi Akademik 2026/2027,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik yang ingin tahu status terkini pelaksanaan semula PLKN.

Mengulas lanjut Mohamed Khaled berkata remaja berusia 17 tahun dan ke atas akan dipilih untuk menjalani fasa latihan asas di merangkumi modul asas kenegaraan sebanyak 30 peratus dan 70 peratus latihan asas ketenteraan.

“Modul asas kenegaraan dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi mengandungi Modul Kenegaraan Elemen Jati Diri, Modul Kenegaraan Elemen Cinta Negara dan Modul Kenegaraan Elemen Perpaduan.

“Manakala modul asas ketenteraan pula dibangunkan Kementerian Pertahanan berkonsepkan pembelajaran melalui pengalaman serta latihan berkumpulan.

“Pelatih dilatih mempraktikkan budaya kehidupan tentera seperti disiplin, ketepatan masa, tersusun dan mandiri,” katanya.

Mohamed Khaled menambah, pelatih PLKN juga diberi peluang menjalani latihan lanjutan dalam mengikut bidang yang mereka minati.

“Modul bagi setiap latihan khusus dibangunkan untuk anggota angkatan tetap, angkatan simpanan dan sukarelawan yang berbentuk intensif, lapangan dan praktikal,” katanya.


Pengarang :