EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan, Najwan Halimi menjawab soalan dalam Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 10 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
EXCOSELANGOR

Selangor belanja hampir setengah juta laksana 131 program basmi rasuah

SHAH ALAM, 10 JULAI: Kerajaan Negeri membelanjakan sejumlah RM455,054 bagi menganjurkan 131 program pembasmian rasuah dalam kalangan penjawat awam dan belia setakat 2022.

EXCO Belia Najwan Halimi berkata program dilaksanakan di Pejabat Setiausaha Negeri Kerajaan (SUK), Pejabat Daerah dan Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Badan Berkanun dan agensi Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri mewujudkan hubungan langsung dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor untuk mengambil langkah pencegahan dan penguatkuasaan terhadap jenayah salah laku rasuah.

“Melalui kerjasama ini, pelbagai kursus, seminar, bengkel, taklimat dan edaran risalah berkaitan salah laku rasuah turut dilaksanakan.

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut menjayakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) melibatkan pemimpin masyarakat seperti Ahli Majlis, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Selangor (JPKK), Penggerak Belia Selangor dan Wanita Berdaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Najwan memaklumkan Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk memastikan tadbir urus organisasi dan penginstitusian integriti dilaksanakan secara efisien dalam membendung salah laku rasuah.

“Negeri juga sediakan saluran aduan integriti melibatkan penjawat awam melalui emel, talian telefon, faks, surat dan ‘walk-in’ di unit-unit integriti yang ditubuhkan bagi memudahkan penyaluran aduan,” jelasnya.

 


Pengarang :