Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyaksikan persembahan dabus seusai bersantap di Warung Ketupat Kampung Permatang ketika program Gagasan Rumpun Selangor daerah Kuala Selangor pada 10 Julai 2024. ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Gagasan Rumpun Selangor rancak sektor pelancongan negeri

KUALA SELANGOR, 10 JULAI: Penganjuran program Gagasan Rumpun Selangor mampu merancakkan lagi sektor pelancongan setempat, kata EXCO perpaduan.

Datuk Rizam Ismail berkata pengisian pelbagai aktiviti sepanjang program yang menjelajah sembilan daerah dapat menggalak dan mempromosi kawasan berpotensi dimajukan.

“Jelajah program ini memasuki siri kelima dan sepanjang penganjurannya Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor mencemar duli dengan melihat kawasan-kawasan berpotensi dalam pelancongan.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli bergambar bersama penduduk di Algontory Stable Kampung Bukit Hijau ketika program Gagasan Rumpun Selangor daerah Kuala Selangor pada 10 Julai 2024. ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR

“Sudah pasti penganjuran ini dapat membantu mempromosi perniagaan sekali gus berkongsi keindahan dan keunikan kepelbagaian masyarakat yang berada di Selangor,” katanya ditemui pada program tersebut hari ini.

Terdahulu, Tengku Amir Shah memulakan siri jelajah Rumpun Selangor bagi daerah Kuala Selangor hari ini dengan bersantap di Warung Ketupat Kampung Permatang di sini.

Sambil menikmati aneka juadah seperti ketupat, rendang dan sate, Tengku Amir Shah dihiburkan dengan persembahan dabus dari penduduk Kampung Kuantan.

Berlangsung selama tiga hari, Raja Muda Selangor dijadual mencemar duli ke Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Selangor di Stadium Kuala Selangor.

Baginda juga dijadual menyaksikan pertandingan wau kapal dan berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang selain berangkat ke Kelip-Kelip Kampung Kuantan serta Rumah Api Bukit Melawati.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bergambar bersama pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor sewaktu Program Gagasan Rumpun Selangor daerah Kuala Selangor pada 10 Julai 2024 . Foto ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR

Pada Jumaat pula, Tengku Amir Shah bakal menyerahkan sumbangan baja kepada pesawah, menaiki belon panas, menziarahi Makam Diraja Bukit Melawati serta menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Jannah Kampung Haji Razali, Tanjung Karang.

Gagasan Rumpun Selangor diperkenal bagi memperkukuh semangat perpaduan nasional dan sistem masyarakat di negeri ini.

Bermula Februari, program telah menjelajah ke empat daerah dimulakan dengan Hulu Selangor diikuti Hulu Langat, Sepang dan Petaling.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan Selangor 2024 memperuntukan RM4.5 juta bagi menjayakan Gagasan Rumpun Selangor di sembilan daerah.

 


Pengarang :