EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin bergambar bersama maskot Karnival Alam Sekitar Peringkat Selangor ketika sidang media selepas Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 10 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

Selangor anjur karnival alam sekitar di 1 Utama pada 20, 21 Julai

SHAH ALAM, 10 JUL: Kerajaan Negeri buat julung kali menganjurkan Karnival Alam Sekitar di Pusat Membeli-belah 1 Utama, Bandar Utama pada 20 hingga 21 Julai ini.

Bertemakan “Kempen Bebas Plastik”, EXCO alam sekitar berkata penganjurannya bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai untuk mengurangkan penggunaan dan penghasilan sisa plastik dalam kehidupan seharian.

EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin bercakap ketika sidang media Karnival Alam Sekitar Peringkat Selangor selepas Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 10 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Buat julung kali karnival ini dianjurkan di Selangor dengan kerjasama Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kehidupan alam lestari.

“Penganjuran karnival ini juga selari dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di bawah tema strategik pemacuan kelestarian,” kata Jamaliah Jamaluddin dalam sidang media di Lobi Dewan Annex, hari ini.

Menurutnya, pameran berkaitan kesedaran alam sekitar dan bengkel interaktif dari 29 reruai pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), peniaga kecil dan pihak swasta menanti pengunjung.

“Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan seperti Bengkel oleh Kawan Guni iaitu untuk mengenal pasti kategori kitar semula dan meningkatkan kesedaran serta pemahaman tentang amalan kitar semula yang betul.

“Selain itu, bengkel Ekspedisi Rakan Bumi untuk memberi pendidikan terhadap penyelesaian alam sekitar dan sisa makanan inovatif melalui lawatan 1 Recycling Centre,” katanya.

Jamaliah turut berharap penganjuran karnival ini memupuk budaya 5R iaitu mengurangkan sisa (reduce), mengitar semula (recycle), mengguna semula (reuse), fikir semula (rethink) dan menolak (refuse) dalam kalangan masyarakat sebagai amalan gaya hidup lestari.


Pengarang :