Pemandangan dari udara kelihatan barisan kontena yang dieksport masuk ke Malaysia dan kemudahan yang tersedia di Pelabuhan Barat di Pelabuhan Klang. Foto westportholding.com
AGENDANASIONAL

Pelabuhan Klang jadi pilihan selepas kesesakan kontena di Singapura

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Pelabuhan Klang mempunyai kemampuan sepenuhnya dan bersedia menangani kemasukan kontena dan kapal yang dilencongkan ke Malaysia untuk mengelakkan masa menunggu yang lebih lama di Singapura disebabkan kesesakan maritim di republik tersebut, termasuk kesesakan di dermaga dan kelewatan.

Pelabuhan di Malaysia berupaya memudahkan urusan kapal dan kontena dengan lebih cepat, mengehadkan kelewatan dan mengelakkan kesesakan di dermaga dengan strategi seperti pelaksanaan langkah-langkah menyelaraskan kemasukan dan keutamaan untuk kapal.

Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) Kapten K Subramaniam berkata walaupun kadar penggunaan dermaga adalah sangat tinggi, masa ketibaan dan pelepasan kapal adalah lebih baik tanpa sebarang kelewatan.

“Pelabuhan Klang tidak sesak memandangkan kami mempunyai 12 kapal kontena yang berlabuh di luar, yang mengambil masa tidak lebih dari 12 hingga 24 jam untuk menyelesaikan urusan kontena,” katanya.

Penganalisis menjangkakan kesesakan pelabuhan di laluan laut utama yang tersibuk di Asia akan berterusan sehingga Ogos memandangkan banyak syarikat perkapalan terpaksa mengubah laluan, seperti menggunakan Tanjung Harapan berbanding Terusan Suez, disebabkan oleh isu di Laut Merah.

Singapura dilaporkan berdepan dengan masa menunggu lebih lama selama beberapa minggu, tetapi masa menunggu beransur-ansur berkurangan apabila kapal kontena mengelak daripada singgah di pelabuhan tersebut dan beralih ke Pelabuhan Klang dan Tanjung Pelepas.

Menurut Kemas Kini Situasi Pelabuhan Pengangkutan Laut DHL Global Forwarding, kelewatan di Singapura boleh memakan masa lebih dari lima hari disebabkan kesesakan dan kepadatan tinggi di kawasan dermaga, manakala di Pelabuhan Klang, kelewatan adalah sekitar dua hingga lima hari jika berlakunya kepadatan yang tinggi di kawasan dermaga.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Westports Holdings Bhd Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah ketika dihubungi mengakui situasi tersebut dan berkata kesesakan terbaru di Singapura telah memberi kesan kepada Pelabuhan Klang apabila kapal kontena beralih dari Singapura ke Pelabuhan Klang untuk memunggah kontena bagi mengurangkan masa menunggu untuk berlabuh di republik itu.

“Westports telah melaksanakan beberapa strategi untuk menangani peningkatan jumlah kontena dengan berkesan. Pada mulanya Westports berjaya mengelakkan kesesakan besar walaupun terdapat gangguan dalam industri perkapalan serantau.

“Bagaimanapun, dengan kelewatan berterusan untuk kapal berlabuh di Singapura menjelang Jun, kemasukan kontena akhirnya membawa kepada kepadatan yang lebih tinggi di dermaga Pelabuhan Klang.

Ruben menambah Westports telah melancarkan kemasukan bagi mengelakkan kesesakan di kawasan dermaga, mengutamakan kapal yang membawa jumlah muatan yang lebih tinggi dan bekerjasama rapat dengan pengimport dan syarikat pengangkutan untuk mempercepatkan pelepasan kontena sebagai strategi menangani isu tersebut.

Beliau menekankan bahawa situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini memerlukan pentingnya mempunyai pelabuhan yang pelbagai bagi mengendalikan perdagangan serantau, dan hab-hab itu perlu bekerjasama secara seiring dalam memastikan daya tahan dan kebolehpercayaan rantaian bekalan global dan serantau.

“Apabila satu pelabuhan menghadapi cabaran, yang lain boleh menyerap sebahagian daripada kesan riak tersebut, yang menunjukkan mengapa kapal kontena memerlukan hab berkembar di rantau ini untuk mengekalkan operasi yang lancar,” katanya.

Ruben berkata dalam menghadapi masa depan, Westports sedang melabur untuk sistem perancangan yang lebih baik dan meluaskan kawasan dermaganya melalui pengembangan Westports 2 bagi mengatasi peningkatan jumlah kontena dengan lebih baik.

“Dalam jangka masa sederhana, sebelum selesainya Westports 2, kami juga akan menambah ruang kontena dan menempatkan lebih banyak peralatan untuk meningkatkan kapasiti dan kecekapan. Langkah ini menunjukkan komitmen Westports untuk mengekalkan tahap perkhidmatan yang tinggi dan memastikan kelancaran pergerakan barang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF) Datuk Tony Chia Han Teun berkata pelabuhan di Malaysia boleh menyifatkan persinggahan kapal yang tidak dijangka ini sebagai rezeki sementara, terutamanya apabila mereka mempunyai kapasiti yang tersedia atau berlebihan berbanding jadual persinggahan laluan perkapalan mereka.

“Kontena daripada kapal yang dilencongkan itu bukan untuk import tempatan tetapi kontena pemindahan kapal semata-mata.

“Kebimbangan kita ialah bahawa pelabuhan di Malaysia tidak seharusnya melampaui batas untuk mengambil kargo yang disifatkan sebagai “durian runtuh” ini kerana kapasiti yang disediakan untuk kapal ini boleh memberi kesan kepada kapasiti dan kecekapan mengendalikan import dan eksport tempatan kita,” katanya.

Chia memberi amaran bahawa walaupun pelabuhan di Malaysia mungkin menguruskan kontena tambahan daripada situasi berkenaan, adalah menjadi tanggungjawab pelabuhan tempatan untuk memastikan penghantaran import dan eksport tidak terjejas.

“Kita masih memantau situasi ini dan akan mendapatkan maklum balas daripada pihak industri,” tambahnya.

– BERNAMA


Pengarang :