SHAH ALAM, 11 JUL: Sebanyak 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor terlibat dalam penilaian semula kadar cukai taksiran baharu yang dijangka selesai hujung tahun ini.
EXCO kerajaan tempatan berkata senarai penilaian baharu melibatkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang dilakukan pada 2020 selesai selepas disahkan Kerajaan Negeri pada Disember 2023 dan berkuat kuasa 1 Januari lalu.
“Penilaian semula cukai taksiran membabitkan 11 PBT masih dalam semakan mengikut Seksyen 142 (2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
“Penilaian dijangka selesai hingga hujung tahun ini, segala input bantahan diterima PBT akan dibentangkan Kerajaan Negeri pada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES),” kata Dato’ Ng Suee Lim dalam Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Menurut Suee Lim, bantahan berhubung kadar cukai taksiran baharu perlu disiasat mengikut peruntukan undang-undang PBT.
“Selaras dengan Seksyen 142(2), PBT perlu menerima bantahan secara bertulis daripada penduduk sebelum senarai penilaian baharu disahkan Kerajaan Negeri.
“Semua pembantah diberi peluang mendengar penyiasatan sama ada melalui mereka sendiri atau ejen yang diberi kuasa,” jelasnya.