EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari menjawab soalan dalam persidangan Dewan Negeri Selangor ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 11 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor teliti tatacara agihan SMUE, kurang beban pusat khidmat

SHAH ALAM, 11 JULAI: Selangor sedang meneliti tatacara pengagihan bantuan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) secara digital dengan lebih berkesan bagi memastikan prosesnya lancar.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari menjelaskan kaedah baharu bermula akhir tahun lalu perlu dipantau sebaiknya terutama daripada aspek penggunaan teknologi maklumat (IT).

“Pelaksanaan secara pendigitalan menumpukan pendaftaran dan penebusan dalam talian kerana ia mampu mengurangkan beban (kesesakan) di pusat khidmat masyarakat,” katanya dalam sidang Dewan Negeri.

Menjawab soalan tambahan wakil rakyat Permatang Nurul Syazwani Noh hari ini, jelasnya, seramai 263,141 orang mendapat manfaat SMUE tahun lalu, manakala 6,331 keluarga menerima khairat kematian.

“Bagi khairat kematian, jumlah kekal RM500 kerana terdapat insentif lain untuk manfaat ini seperti Skim Insurans Am Selangor (INSAN) dan Skim Iltizam Selangor Sihat (ISS).

“Jika perlu ditambah, semua tawaran khairat kematian ini perlu diperhalusi,” katanya.

Belanjawan Selangor 2024 memperuntuk RM16.48 juta bagi program Jom Shopping sempena hari lahir penerima. Ia sebahagian inisiatif SMUE, dengan setiap orang menerima RM150 untuk membeli barangan keperluan.


Pengarang :