EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah menjawab soalan dalam persidangan Dewan Negeri Selangor ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 10 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
EXCOSELANGOR

EXCO: Sekolah agama persendirian boleh mohon jadi sekolah bantuan kerajaan

SHAH ALAM, 11 JULAI: Sekolah agama persendirian boleh membuat permohonan menjadi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) kepada Kementerian Pendidikan, kata EXCO agama Islam.

Dr Fahmi Ngah berkata sekolah agama persendirian dibina untuk tujuan dasar komersial (commersial venture) dan tiada keperluan untuk menjadi SABK.

“Buat masa ini, terdapat 24 SABK di Selangor dan Kerajaan Negeri menggalakkan sekolah agama persendirian ini menjadi SABK. Permohonan menjadi SABK perlu dibuat sendiri sekolah agama persendirian kepada Kementerian Pendidikan.

“Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menjadi pemudah cara antara sekolah dan kementerian bagi membantu proses permohonan tersebut,” katanya menjawab soalan wakil rakyat Sijangkang Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dr Fahmi turut memaklumkan, sekolah agama persendirian boleh memulangkan semula pentadbiran kepada Kerajaan Negeri jika tidak menguntungkan.

“Memang bidang kuasa Kerajaan Negeri untuk mentadbir dan baik pulih SABK yang uzur dan pada masa sama perlu optimumkan penggunaan dana pembangunan untuk penyelenggaraan.

“Namun, sekiranya SABK yang dipohon persendirian pelaksanaannya tidak menguntungkan, pulangkan semula kepada Kerajaan Negeri untuk diselesaikan bersama kementerian kerana masing-masing ada bidang kuasa tersendiri,” katanya.


Pengarang :