Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kiri) menyaksikan penyerahan cek cura Insentif Haji Muassasah Daerah Hulu Selangor oleh Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI Selangor Ahmad Azri Zainal Nor kepada penerima ketika majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Komuniti Pendidik dan Jemaah Haji Muassasah peringkat Hulu Selangor pada 5 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Permohonan insentif haji berjumlah RM1,000 dibuka hingga 23 Ogos

SHAH ALAM, 11 JULAI: Seramai 3,000 jemaah haji Selangor boleh memohon Insentif Haji Muassasah berjumlah RM1,000.

Baki jemaah daripada 6,000 orang yang belum memohon boleh berbuat demikian walaupun musim haji sudah berakhir.

Ketua tanggungjawab sosial dan komunikasi korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, berkata proses itu boleh dibuat di pejabat DUN atau penyelaras DUN berdekatan.

“Jemaah haji yang tak sempat memohon sebelum menunaikan haji boleh berbuat demikian selepas mengerjakan ibadah berkenaan.

“Cepat mohon jangan biarkan kuota tersebut terbiar begitu sahaja. Jangan lepaskan peluang, dapatkan insentif RM1,000,” kata Ahmad Azri Zainal Nor ketika dihubungi hari ini.

Beliau menambah permohonan berkenaan dibuka sehingga 23 Ogos ini.

Tahun ini Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi pelaksanaan skim itu, meningkat tiga kali ganda berbanding RM1.5 juta pada 2023.

Setiap jemaah menerima wang tunai RM1,000, meningkat RM500 berbanding sebelum ini selain kit penjagaan diri.

Kerajaan Negeri turut membelanjakan RM1.2 juta bagi membiayai kos perjalanan 36 jemaah menunaikan haji secara percuma.


Pengarang :