Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat paparan iklan bersama EXCO Kerajaan Tempatan & Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim selepas gimik pelancaran Iklan Panel Belakang Bas Smart Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 11 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
EXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Promosi pelancongan, kerjasama dengan AirAsia sempena Tahun Melawat Selangor

SHAH ALAM, 11 JULAI : Kerajaan Negeri bakal memeterai kerjasama dengan AirAsia Group Bhd bagi mempromosi pelancongan sempena Tahun Melawat Selangor 2025.

EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata kerjasama itu dijangka pada September ini dengan mempamerkan iklan di 15 kapal terbang AirAsia.

“Ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk mempromosi lokasi menarik di seluruh Selangor di peringkat antarabangsa sempena Tahun Melawat Selangor 2025.

“Kita yakin dengan langkah ini sasaran lapan juta pelancong antarabangsa dan domestik ke Selangor mampu dicapai pada tahun depan.

“Tahun ini sahaja kita sasar tujuh juta pelancong dan setakat suku pertama kita sudah berjaya menarik 1.78 juta. Pelancong yang tertinggi adalah dari China diikuti Singapura, Indonesia, India dan Jepun,” katanya.

Bercakap dalam sidang media, Suee Lim berkata Kempen Tahun Melawat Selangor 2025 juga dijangka dilancarkan pada November ini dengan pelbagai program menarik ditawarkan.

“Kita akan mengadakan ‘roadshow’ ke China bagi satu slot pelancaran Tahun Melawat Selangor 2025 di luar negara kemudian di Malaysia juga akan lancar secara besar-besaran dijangka November ini.

“Hujung Julai ini pula kita akan ke Surabaya, Indonesia untuk mempromosi pelbagai pakej pelancongan perubatan yang terdapat di Selangor,” katanya.

 


Pengarang :