Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin menyampaikan kotak e-sisa kepada wakil agensi kerajaan ketika majlis pelancaran Program Sisa Elektrik dan Elektronik (E-Waste) Peringkat Negeri Selangor di Dewan Annex, Shah Alam pada 11 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

Selangor sasar kumpul 15 peratus sisa elektronik dalam dua tahun

SHAH ALAM, 11 JULAI: Kerajaan Selangor menyasarkan 15 peratus sisa elektronik (e-sisa) dikumpulkan menjelang 2026, menerusi program khas yang dilancarkan di peringkat negeri hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari menjelaskan pengeluaran sisa itu di Malaysia dijangka mencecah 24.5 juta unit pada 2025, dengan Selangor menjadi penyumbang terbesar.

Berikutan itu, beliau berkata pentadbiran negeri berusaha meningkatkan kesedaran berkaitan pengurusan lestari selain menggalakkan ekonomi kitaran bagi peralatan elektrik dan elektronik.

“Kadar kutipan sisa itu di negara hanya satu peratus dan Selangor menyumbang jumlah yang besar sekitar 280,000 tan metrik menjelang 2025.

“Kalau ia tidak diatur sekarang dengan jumlah pertumbuhan penduduk yang tinggi ia akan memberi kesan yang besar,” katanya seperti dilaporkan portal Berita RTM.

Jelas Amirudin, sistem pengumpulan e-sisa yang diperkenal memberi perkhidmatan secara pintu ke pintu kepada pengguna yang ingin menghantarnya ke tempat pengumpulan yang sah.

Pengguna juga akan diberi ganjaran tunai sebagai insentif untuk mengitar semula peranti lama, yang akan dilaksanakan sehingga 31 Disember.

Orang ramai boleh melayari laman web untuk memohon perkhidmatan tersebut. Syarikat pengumpulan sisa yang sah akan menghubungi pengguna melalui WhatsApp untuk aturan selanjutnya.

 


Pengarang :