EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari ketika sidang media insentif MamaKerja di Wisma Dewan Annex Negeri Selangor, Shah Alam pada 11 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIASELANGOR
EXCOSELANGOR

Selangor kaji model aturan kerja anjal, imbangi kerjaya, keluarga

SHAH ALAM, 11 JULAI: Kerajaan Negeri mengkaji model aturan kerja anjal di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta bagi menyeimbangkan tuntutan antara keluarga serta kerjaya.

EXCO Pembangunan Keluarga Anfaal Saari berkata selain menggalakkan wanita kembali bekerja, langkah itu juga memberi peluang kepada pekerja berstatus ibu untuk mengurus masa dengan lebih berkualiti.

“Model (waktu anjal) ini sudah diguna pakai di sebahagian sektor termasuk kerajaan. Bagi yang sudah melaksanakannya boleh teruskan.

“Cuma buat masa ini kita mahu kaji keberkesanan. Satu sesi libat urus dan soal selidik akan dilakukan bersama sektor korporat dan kerajaan,” katanya ketika sidang media MamaKerja di Dewan Annexe di sini.

Sementara itu, beliau berkata permohonan insentif MamaKerja berjumlah RM1,000 khusus bagi golongan ibu bekerja di Selangor masih dibuka bagi memenuhi sasaran 5,000 penerima.

‘Setakat Mei, seramai 4,042 ibu bekerja menerima bantuan yang bertujuan meringankan beban menampung kos penjagaan anak selain galakan wanita kekal dalam sektor pekerjaan.

“Sebelum ini, insentif MamaKerja menerima sejumlah 6,094 permohonan. Seramai 4,042 berjaya menerima bantuan tunai yang disalur secara terus ke akaun bank masing-masing manakala 2,052 permohonan ditolak kerana tidak memenuhi syarat kelayakan,” katanya.


Pengarang :