Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat replika Kompleks Sukan Shah Alam ketika majlis sesi perasmian Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (KSP RS-1) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 4 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor pertimbang guna stadium baharu untuk SUKMA 2026

SHAH ALAM, 12 JULAI: Kerajaan Negeri bersedia menggunakan kemudahan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) sekiranya menjadi tuan rumah untuk Sukan Malaysia (Sukma) pada 2026 nanti.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri sudah tentu mahu memanfaatkan infrastruktur berkenaan sekiranya stadium baharu itu siap lebih awal daripada waktu ditetapkan.

“Sebenarnya Selangor mendapat tawaran menjadi tuan rumah bukannya membida dan pembangunan stadium baharu menjadi kayu ukur sama ada mampu siap lebih awal atau sebaliknya.

“Jika siap lebih awal sudah tentu kita mahu tetapi saya sekali lagi saya tegaskan Selangor tidak mahu tergesa-gesa. Ini kerana pengalaman tergesa-gesa akhirnya akan membawa kemusnahan atau mengakibatkan isu lebih buruk,” katanya.

Beliau juga merujuk kejadian bumbung runtuh membabitkan stadium di sebuah negeri pada 2009.

Dalam penggulungan Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (KSP RS-1) itu, Amirudin menjelaskan pihaknya menjangkakan 69 daripada 282 projek yang direncana dijangka melangkaui tempoh 2025 dan perlu disambung dalam Rancangan Selangor Kedua.

“Ini meliputi projek Pulau Carey, KSSA yang siap dilengkapi dewan serbaguna, hotel, parkir berpusat dan stesen kemudahan pengangkutan,” ujarnya.

Sebelum ini, Amirudin ketika membentang kajian tersebut memaklumkan 18 peratus projek, program, inisiatif (PPI) telah selesai sepenuhnya manakala bakinya sedang berjalan sepanjang 2021 hingga 2023.

Jelasnya, sebahagian besar daripada usaha di ikhtiarkan telah berjalan selepas melalui proses perancangan yang teliti selain hampir 20 peratus telah selesai dilaksanakan dan merupakan usaha tahunan.


Pengarang :