Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat pameran sempena sesi perasmian Kajian Penggal Rancangan Selangor Pertama (KSP RS-1) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 4 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATPILIHAN MINGGUANRENCANA

Pencapaian dan cabaran menuju kejayaan 16 sasaran pelan lima tahun 

Oleh ABDUL RAHIM SABRI & NADIAH ZAMLUS

Semua empat penunjuk kejayaan dalam tema pengukuhan ekonomi mencapai atau hampir mencapai sasaran, setakat separuh penggal pelaksanaan pelan pembangunan lima tahun Rancangan Selangor Pertama (RS-1) antara 2021 hingga 2023.

Namun empat lagi penunjuk kejayaan bagi tema kedua, peningkatan kesejahteraan dan keterangkuman sosial, berdepan cabaran. Walau pendapatan isi rumah dijangka boleh dicapai tetapi tiga lagi penunjuk perlu disemak.

Penunjuk kemiskinan mutlak dan indeks kebahagiaan dijangka menuju arah yang betul tetapi mungkin tersasar jika pelaksanaan tidak dipercepat. Sementara penunjuk kemiskinan relatif pula disifatkan menuju arah yang salah.

Daripada 16 penunjuk kejayaan, termasuk dua yang baharu dimasukkan setelah penilaian, hanya kemiskinan relatif dianggap mesti disusun semula.

Sementara, selain kemiskinan mutlak dan indeks kebahagiaan, dua lagi penunjuk boleh tersasar. Dua penunjuk tersebut: kadar kitar semula sisa dan tahap kemajuan projek utama pemacu RS-1.

Sebelas lagi penunjuk kejayaan berada atas landasan tepat untuk mencapai sasaran ditetapkan atau lebih baik.

Semua rumusan ini dimuatkan dalam laporan lengkap Kajian Separuh Penggal (KSP) RS-1, sebahagiannya dibentangkan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Dewan Negeri Selangor pada 4 Julai.

Seperti dinyatakannya, RS-1 yang pertama kali dibentang peringkat negeri di Malaysia bersifat “dokumen hidup” yang tertakluk pada perubahan semasa di dalam dan luar negeri.

Selain matlamat khusus, setiap empat tema mempunyai empat sasaran atau penunjuk kejayaan. Setiap tema ini pula mempunyai sektor atau bidang tumpuan. Bagi mencapai matlamat dan sasarannya, setiap tema mempunyai pelbagai projek, program dan inisiatif (PPI).

Tema kedua, kesejahteraan, mempunyai 98 PPI, kelestarian (39) dan tadbir urus (52).

Ekonomi

Bagi tema pengukuhan ekonomi, 93 PPI dilaksana dalam sembilan sektor tumpuan. Setakat ini, 18 PPI atau 19 peratus sudah selesai. Sementara 75 lagi (81 peratus) dalam proses pelaksanaan.

Pertumbuhan ekonomi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melepasi sasaran, membukti Selangor terus menerajui kekayaan negara. Kerajaan negeri berhasrat menyumbang 27 peratus kepada KDNK di hujung pelaksanaan RS-1.

Atau, purata pertumbuhan sepanjang pelaksanaan 2021 hingga 2025, disasarkan 6.5 hingga 7 peratus setahun. Bagi tahun 2023, Selangor merekodkan pertumbuhan 5.4 peratus dengan jumlah sumbangan KDNK paling tinggi, 25.9 peratus.

Purata pertumbuhan antara 2021 hingga 2022, Selangor merekod 8.5 peratus (lihat jadual). Namun, bagi tempoh 2021 hingga 2023, negeri mencatat purata pertumbuhan 7.43 peratus, lebih tinggi daripada penunjuk lima tahun.

Penunjuk kejayaan kedua, nilai pelaburan, mengatasi sasaran RM23 bilion hingga RM35 bilion. Sepanjang tempoh kajian, Kerajaan Negeri mencatat pencapaian mengagumkan dengan purata nilai pelaburan RM39.4 bilion.

Bagi penunjuk ketiga, peluang pekerjaan, Kerajaan Negeri menghampiri sasaran, purata 3.7 juta orang antara 2021 hingga 2022 berbanding 3.5 juta hingga 3.8 juta yang disasarkan.

Langkah meluaskan sambungan internet berjalur lebar, setakat 2023, telah mencapai 61.6 peratus berbanding sasaran keempat 70 peratus. Namun, penunjuk kejayaan dianggap mendekati sasaran.

Kesejahteraan

Bagi tema kedua pula, sejumlah 98 PPI dilaksanakan dalam enam bidang tumpuan. Setakat ini, 12 PPI (atau 12 peratus) telah siap, sementara 86 lagi (88 peratus) dalam proses pelaksanaan.

Kenaikan pendapatan isi rumah penengah (median) sebanyak RM9,290 sebulan diangkat sebagai penunjuk kejayaan kelima. Setakat 2022, walau ada masalah ekonomi akibat kesan wabak dan pascawabak Covid-19, pendapatan isi rumah di Selangor meningkat kepada RM9,983 sebulan.

Jumlah ini melepasi sasaran yang ditetapkan bagi Wilayah Tengah Semenanjung Malaysia dalam Rancangan Malaysia ke-12, yakni RM9,290 sebulan, menjelang 2025.

Selangor menambah baik sasaran untuk menurunkan tahap kemiskinan mutlak dari 0.7 peratus kepada 0.5 peratus melalui usaha secara bersasar. Pada tahun 2022, insiden kemiskinan mutlak tinggal sebanyak 1.5 peratus namun kadar ini masih tinggi berbanding sasaran 0.5 peratus di hujung RS-1.

Kerajaan Negeri sedar cabaran-cabaran yang perlu dihadapi untuk mencapai sasaran ini dan berusaha keras untuk memperbaiki keadaan sosioekonomi bagi semua lapisan masyarakat.

Kemiskinan relatif, sasaran kejayaan ketujuh, yang merupakan penunjuk penting dalam ekonomi moden menunjukkan perubahan penting dari tahun ke tahun.

Selangor menyasarkan kemiskinan relatif turun kepada kadar 11.0 peratus menjelang 2025 berbanding 14.2 peratus pada tahun 2022.

Walaupun kemiskinan tegar di negeri ini mencecah 0 peratus pada tahun 2022, lebih banyak usaha bersasar diperlukan untuk menangani kemiskinan mutlak dan relatif bagi menyokong wawasan Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat.

Selangor pada tahun 2021 mencatatkan kedudukan sederhana bahagia dengan indeks sebanyak 5.74, di bawah sasaran kebahagiaan sebanyak 7.00 menjelang tahun 2025.

Di negeri ini, berdasarkan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia, tiga komponen tertinggi adalah keluarga (6.53), amalan kerohanian (6.27) dan penggunaan masa (6.04). Manakala tiga komponen paling rendah pula perumahan dan alam sekitar (5.50), keselamatan awam (5.35) dan pengalaman emosi (5.32).

Kelestarian

Tema ketiga, pemacuan kelestarian, diwujud bagi menangani ancaman bencana. Ia dijayakan melalui 39 PPI dalam lima bidang tumpuan.

Pada peringkat awal RS-1 digubal, Kerajaan Negeri meletakkan sasaran negeri sifar karbon dengan menggunakan indikator pelepasan gas rumah hijau sebagai pemantauan kualiti udara.

Namun laporan Kajian Separuh Penggal RS-1 menjelaskan terma itu diperhalusi lagi dan kemudian diganti dengan partikel halus atau PM2.5.

Indikator itu merujuk zarah halus berdiameter 2.5 mikrometer atau kurang, bahan pencemar paling berbahaya. Zarah halus boleh menembusi paru-paru dan memasuki sistem darah.

Garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meletakkan purata kepekatan tahunan PM2.5 bagi tempoh 24 jam tidak boleh melebihi 15 mikrogram per meter padu. Sama seperti yang disasarkan Selangor.

Purata tahap pencemaran antara 2021 hingga 2022 masih tinggi, 20.38 mikrogram per meter padu. Namun KSP pelan pembangunan ini menyifatkan penunjuk kejayaan tersebut, sasaran kesembilan, hampir mencapai matlamat.

Selain kualiti udara, jaminan air bersih 24 jam sehari dimasukkan sebagai penunjuk kejayaan seterusnya.

Usaha kerajaan membangunkan loji rawatan air Sungai Rasau di Kuala Langat dan menggantikan paip lama antara usaha mencapai sasaran tersebut.

Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) pula mengatasi henti tugas loji rawatan akibat pencemaran sumber air untuk jangka panjang dan pendek. Sekali gus, SJAM memastikan kecukupan air mentah dalam menghadapi kemarau.

Sebagai penunjuk kejayaan ke-11, RS-1 mensasarkan 15 peratus kadar kitar semula, namun usaha sama pihak berkuasa tempatan (PBT) membolehkan kadar itu dicapai sebanyak 8.24 peratus setakat tahun lalu.

Seiring aspirasi menjadi negeri rendah karbon, Hutan Warisan Diraja Selangor dan Central Forest Spine Selangor yang baru diwarta mencerminkan tekad untuk menjaga hutan simpanan kekal (HSK) yang kini berada pada tahap 31.7 peratus.

Pencapaian ini lebih baik daripada penunjuk kejayaan ke-12 yang meletakkan sasaran 31 peratus HSK di seluruh negeri.

Pentadbiran

Tema terakhir dengan empat penunjuk kejayaan bertujuan memodenkan sektor perkhidmatan awam dengan mentransformasikan kerajaan agar menjadi lebih bertanggungjawab, berkesan, cekap dan berpaksikan rakyat.

Tumpuan terhadap pendigitalan serta peningkatan kemahiran dan kecekapan yang relevan dengan kerja di seluruh agensi di Selangor adalah penting untuk mencapai produktiviti yang lebih tinggi dan mengurangkan kerenah birokrasi.

Tadbir urus SMART dan berkesan dijayakan melalui 52 PPI dalam lima bidang tumpuan.

Untuk penunjuk kejayaan rancangan ini, 20 pemacu perubahan RS-1 merentasi keempat-empat tema ini dirancang. Sehingga tahun lalu, pencapaian sasaran ke-13 pada tahap 49 peratus tetapi dijangka berada atas landasan.

Bagi penunjuk kejayaan seterusnya, Kerajaan Negeri mensasarkan semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) mencapai sekurang-kurangnya markah 95 peratus dalam Sistem Penarafan Bintang PBT yang dinilai kementerian berkenaan.

Setakat tahun 2023, 10 daripadanya sudah mencapai piawaian ditetapkan.

RS-1 juga meletakkan matlamat mencapai perkongsian khidmat kerajaan digital E2E (hujung ke hujung).

Dilaksana secara dalam talian, perkhidmatan awam boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana-mana.

Kerajaan Negeri meletakkan sasaran 85 peratus tetapi setakat tahun lalu perkhidmatan itu mencapai 82.32 peratus bagi penunjuk kejayaan ke-15.

Ukuran kejayaan terakhir RS-1, tahap kepuasan penduduk terhadap perkhidmatan PBT. Bagi tahun 2023, 89.84 peratus penduduk berpuas hati berbanding sasaran 85 peratus menjelang 2025.

 

 

 


Pengarang :