Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 11 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
SELANGOR

Dana swasta RM15.6 juta disuntik bangun zon ekonomi, bersih Sungai Klang

SHAH ALAM, 12 JULAI: Berjaya Land Berhad menyuntik dana sejumlah RM15.6 bagi membangunkan projek zon ekonomi Selangor Maritime Gateway, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan syarikat berkenaan bertanggungjawab mendapatkan sumber kewangan mengikut klausa perjanjian ditetapkan.

“Perjanjian Langganan dan Pemegang Saham yang dimeterai pada 27 Januari 2021 berjaya menubuhkan Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLBSB), iaitu usahasama di antara LLBSB dan Berjaya Land Berhad.

“Pihak mereka telah menyuntik dana bagi membiayai pembinaan infrastruktur, penyediaan perancangan dan pelan pembangunan, proses pembayaran premium tanah, serta program pembersihan Sungai Klang,” katanya.

Beliau menjawab dakwaan Ketua Pembangkang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bahawa Berjaya Land tidak mempunyai kewangan mencukupi ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama di Sidang Dewan Negeri semalam.

Amirudin menambah tanah seluas 26.29 ekar di Seksyen 24 Shah Alam telah mendapat kelulusan Kebenaran Merancang Pelan Susun Atur daripada Majlis Bandaraya Shah Alam pada 20 Mei lalu bagi tujuan pembangunan ‘riverfront’.

“Keseluruhan pembangunan ini melibatkan 1,922 unit rumah dan 40 peratus daripada ini telah disyaratkan untuk dibangunkan sebagai rumah mampu milik.

“Ia akan dilancarkan pada suku ketiga 2025 setelah perkara berkaitan tanah dan kelulusan lanjut diselesaikan,” jelasnya.


Pengarang :