EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari melakukan gimik perasmian Celebral Palsy Care Unit (CPCU) di Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 12 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Ringan beban ibu bapa, Selangor tawar kursus jaga anak lumpuh otak

SHAH ALAM, 12 JULAI: Selangor menjadi negeri terawal menawarkan program khusus kepada golongan orang kurang upaya (OKU) kategori fizikal lumpuh otak.

EXCO kebajikan masyarakat berkata Cerebral Palsy Care Unit (CPCU) dilancarkan hari ini menerusi Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) dan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Menurut Anfaal Saari, program itu tercetus apabila melihat kepayahan ibu bapa menjaga dan membesarkan anak istimewa itu tanpa bantuan khusus daripada mana-mana pihak.

“Untuk membesarkan anak-anak ini memerlukan kos yang tinggi. Kebanyakan penjaga memilih untuk tidak bekerja kerana beban menjaga agak berat.

“Saya melihat perkara ini dengan penuh empati. Dengan intervensi ini diharap dapat ringankan beban. Konsep Selangor juga untuk menjadi negeri berdaya huni, menjadi dukungan untuk warga rentan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan program CPCU di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini, hari ini.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berucap pada majlis perasmian Celebral Palsy Care Unit (CPCU) di Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 12 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Anfaal berkata inisiatif itu dilaksana secara tiga fasa iaitu latihan pemerkasaan penjagaan anak lumpuh otak, perkhidmatan pinjaman peralatan serta perkhidmatan rawatan.

Jelasnya, fasa pertama akan dibuat sebanyak tiga siri setahun di daerah terpilih, dengan setiap siri dijangka membabitkan 30 ibu bapa atau penjaga bermula bulan depan.

“Syarat untuk menyertai program ini adalah anak lumpuh otak berumur 18 tahun ke bawah, ibu atau bapa atau penjaga merupakan pengundi di Selangor dan mempunyai kad OKU,” katanya.

Permohonan boleh dibuat menerusi http://www.anisselangor.com/cpcuanis bermula 15 Julai jam 3 petang. Sebarang maklumat lanjut boleh diajukan melalui e-mel [email protected]


Pengarang :