Kanak-kanak bermain buih belon bersama keluarga di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau kenali sebagai Padang Polo, Ipoh, pada 4 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Selangor rekod kadar kelahiran keempat terendah, lewat kahwin antara faktor utama

Oleh ALIFF HAIQAL MOHAMED

SHAH ALAM, 12 JULAI: Selangor merekodkan kadar kesuburan keseluruhan (TFR) 1.5 anak bagi seorang wanita pada 2022, keempat terendah selepas selepas Sabah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Pengarah bahagian penyelidikan kependudukan dan keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) berkata faktor utama penurunan kadar kelahiran ialah peningkatan bilangan wanita di institusi pengajian tinggi, lewat berkahwin dan perancangan keluarga.

Jelas Adzmel Mahmud, Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) mendapati walaupun 86.8 peratus penduduk bujang di negara ini yang berumur 25 hingga 49 tahun berhasrat berkahwin, namun mereka mempunyai persepsi ingin berkahwin lewat.

“Kajian mendapati lelaki mahu berkahwin pada umur 32 tahun manakala 30 tahun bagi wanita. Umur ini adalah lebih tinggi berbanding umur perkahwinan pertama yang dicatatkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2021 iaitu 29.9 tahun bagi lelaki dan 28.0 tahun bagi perempuan,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata bagi menyediakan perancangan untuk mendepani isu tersebut khususnya di negeri ini, LPPKN akan mengadakan Seminar Kependudukan Negeri Selangor (SKNS) pada 30 Julai ini.

“SKNS 2024 akan membincangkan langkah dan dasar yang perlu diambil bagi memperlahankan penurunan kadar kesuburan dan menyiapkan Selangor dalam menghadapi arus pantas perubahan demografi.

“Seminar ini menjadi platform kepada penggubal dasar, ahli akademik dan pakar penyelidik menyediakan pelan perancangan dan pelaksanaan program melalui tiga teras utama iaitu kependudukan, pembangunan keluarga dan reproduksi manusia,” katanya.

 

 


Pengarang :