Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (lima, kanan) bersama penerima pada Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada 12 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMASELANGOR

Negeri sasar 50,000 penjaja, usahawan kecil sertai PLATS

Oleh ANNA FARINA ABDUL RAUF

SHAH ALAM, 13 JULAI: Kerajaan Negeri menyasarkan 50,000 usahawan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) menyertai Platform Selangor (PLATS) menjelang tahun depan.

Dato’ Menteri Besar berkata sasaran itu yakin dicapai memandangkan pendaftaran terkini sudah mencecah 37,000 peserta sejak diperkenalkan pada 2020.

“Bermula dengan 133 orang pada tahun 2020, sekarang pada tahun 2024 sehingga bulan Julai kita sudah mempunyai 37,000 peserta.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada 12 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Ia menepati sasaran kita sebenarnya sebab menjelang 2024 kita anggarkan sekitar 40,000 penjaja atau peniaga mikro kecil dapat menyertai program PLATS,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Terdahulu beliau menyampaikan Anugerah Peserta Terbaik U-Plats Digital anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI pada Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) di Sunway Resort Hotel, di sini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Selangor Datuk Haris Kasim; EXCO Pemberdayaan Usahawan Mohd Najwan Halimi; EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Saipolyazan M Yusof.

Seramai 12 peserta dinobat terbaik berdasarkan pencapaian mereka sepanjang menjalani PLATS Digital yang mewakili 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan Anugerah Peserta Terbaik U-Plats Digital dalam Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada 12 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Tambah Amirudin, bilangan peserta paling ramai berdaftar dengan PLATS ialah dari Majlis Bandaraya Subang Jaya diikuti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA); Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan Majlis Perbandaran Kajang.

Jelasnya, perkembangan positif ini membantu Kerajaan Negeri terus memperkasakan peserta PLATS yang berpotensi untuk ditransformasikan ke arah pendigitalan.

“Saya lihat juga ada ketersediaan pasaran yang telah bersedia di kawasan Lembah Klang. Kalau kita lihat Hulu Selangor antara yang tertinggi ini merupakan satu petunjuk dan petanda yang sangat baik dan platform ini sudah berkembang bukan hanya untuk memasarkan.

“Kita bukan mahu mengambil tugas Grab, Food Panda sebaliknya kita kolaborasi dengan semua dan ia menjadi platform pemasaran kepada produk yang lain,” katanya.

PLATS diperkenalkan pada 2020 bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor menerusi platform digital susulan penularan wabak Covid-19.


Pengarang :