EXCO Kesihatan, Jamaliah Jmaaluddin bergambar bersama pemenang selepas menyampaikan hadiah ketika Kejohanan Larian Menara Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 13 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDASUKANKINI

Wai Ching pertahan gelaran, juarai Larian Menara Selangor

SHAH ALAM, 13 JULAI: Pelari menara negara Soh Wai Ching mendominasi kategori lelaki terbuka Kejohanan Larian Menara Selangor di Menara Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Atlet berusia 30 tahun yang juga anak jati Selangor itu berjaya mencatatkan rekod masa 2 minit 05 saat di menara berketinggian 21 tingkat yang mempunyai 568 anak tangga.

“Pertandingan hari ini agak sengit kerana ada pelari dari negara luar juga. Namun, keseluruhannya saya berpuas hati kerana masih mampu pertahan ranking dan lindungi menara ini daripada ditakluki pelari luar.

“Walaupun kali pertama dianjurkan kejohanan di menara ini, saya rasa ia berlangsung dengan baik dari segi keadaan tangga yang agak rendah dan berhawa dingin saya rasa sesuai untuk pelari yang baharu berjinak-jinak mahu sertai sukan ini,” katanya.

Mahu mengekalkan momentum, Wai Ching berkata selepas ini beliau akan menyertai kejohanan larian menara setinggi 47 tingkat di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada 4 Ogos.

Aksi juara dunia larian menara, Soh Wai Ching menaiki 568 anak tangga ketika Kejohanan Larian Menara Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 13 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hadir menyempurnakan simbolik pelancaran dengan pelepasan ‘flag off’ peserta perlumbaan.

Bagi kejohanan terbuka lelaki, tempat kedua dimenangi Muhammad Hazim Zuhairi Azahari dan Muhammad Afiq Mohd Ali (tempat ketiga).

Bagi kategori terbuka wanita, peserta dari Kenya, Eunice Nyawira Muchiri muncul juara, Michele Tan Bee Kiang (kedua) dan Serene Cheong (ketiga).

Pengerusi Persatuan Tower Run Malaysia, Ravinder Singh

Perlumbaan tersebut berjaya menarik kira-kira 200 peserta termasuk dari Singapura, Taiwan, Britain, Nepal dan Austria.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Larian Menara Malaysia Ravinder Singh berkata Malaysia berada pada kedudukan ketiga dunia dalam kejohanan larian menara.

“Kami menghargai Kerajaan Selangor yang sudi bekerjasama bersama persatuan kami untuk menganjurkan kejohanan di menara ini. Harap kolaborasi ini diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.

 


Pengarang :