Pengunjung Jualan Agro Madani KRT Taman Desa Melor dan Taman Desa Anggerik di Tapak Pasar Malam Taman Desa Melor, Serendah pada 13 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
AGENSISELANGOR

Jimat belanja, dua rukun tetangga di Serendah anjur jualan murah

HULU SELANGOR, 13 JULAI: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Desa Melor dan Desa Anggerik di Serendah buat julung kali bergabung menjayakan Jualan Agro Madani hari ini.

Pengarah program berkata program dari 8 pagi hingga 12 tengah hari memudahkan penduduk mendapatkan barang keperluan dengan harga murah berbanding pasaran.

Pengarah Program Jualan Agro Madani Mohd Kamal Hashim

Jelas Mohd Kamal Hashim, usaha dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) juga membantu penduduk menjana pendapatan apabila berpeluang membuka gerai jualan.

“Program ini hanya libatkan kira-kira 30 peniaga termasuk jualan Fama dan penduduk dua KRT ini. Sambutan menggalakkan kerana penduduk dapat menjimatkan belanja.

“Kita turut adakan jualan ‘happy hour’ yang menawarkan ayam pada harga RM10 seekor dan jualan kombo barangan dapur RM5. Harga asal RM15,” katanya.

Penyelaras DUN Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali berkata jualan itu membantu penduduk mendapat barangan segar dengan harga berpatutan selain lebih rendah berbanding pasaran.

“Program ini dan Jualan Ehsan Rahmah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan membantu penduduk berbelanja dan berjimat cermat. Barangan juga berkualiti dan segar.

“Usaha ini wajar diteruskan kerana manfaatnya yang banyak. Kita harap ia dapat diteruskan pada masa akan datang,” kata Saifuddin Shafi Muhammad.


Pengarang :