Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bersama EXCO Belia dan Sukan, Najwan Halimi melepaskan peserta larian menara ketika Kejohanan Larian Menara Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 13 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
EXCOSELANGOR

EXCO: Cadang perluas larian menara, jadikan acara tahunan

SHAH ALAM, 13 JULAI: Kerajaan Negeri bercadang memperluaskan lagi kejohanan larian menara kepada umum sekali gus menjadikannya sebagai salah satu amalan gaya hidup sihat.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata pihaknya dengan kerjasama Persatuan Larian Menara Malaysia akan berbincang untuk mengadakan beberapa siri bengkel berkaitan manfaat larian ini.

“Larian menara merupakan salah satu sukan paling mudah untuk membantu membina kekuatan dan stamina selain kaedah cepat untuk mengurangkan lemak badan yang mana ia sesuai untuk menangani obesiti.

EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin bergambar bersama pemenang selepas menyampaikan hadiah ketika Kejohanan Larian Menara Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 13 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Namun, pendidikan dan kesedaran memerlukan usaha berterusan. Justeru, kita bercadang menganjurkan beberapa siri bengkel yang akan menumpu kepada faedah menaiki tangga dan kepentingan diet sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kejohanan Larian Menara Selangor di Menara Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini hari ini yang disempurnakan acara pelepasan ‘flag off’ oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, EXCO Belia dan Sukan Najwan Halimi turut mencadangkan sukan larian menara itu dijadikan acara tahunan di negeri ini.

“Kita akan berbincang dengan Persatuan Larian Menara Malaysia dan setakat ini lokasi cadangan sama ada di Menara MBPJ atau di sini (Menara SSAAS), kita akan teliti sekiranya ada lokasi lain.

“Kita menggalakkan acara ini disertai semua lapisan peringkat usia terutama golongan belia kerana aktiviti ini juga merupakan amalan gaya hidup sihat,” katanya.

Lebih 200 peserta larian menara menunggu giliran larian ketika Kejohanan Larian Menara Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 13 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, jaguh larian menara negara Soh Wai Ching berjaya mendominasi kategori lelaki terbuka Kejohanan Larian Menara Selangor dengan rekod masa 2 minit 05 saat (s).

Tempat kedua dimenangi Muhammad Hazim Zuhairi Azahari dengan masa 2:15s dan Muhammad Afiq Mohd Ali dengan masa 2.29s (tempat ketiga).

Bagi kategori terbuka wanita, wakil dari Kenya Eunice Nyawira Muchiri muncul juara dengan merekodkan masa 2:53s bagi menafikan kemaraan Michele Tan Bee Kiang (3:00s) dan Serene Cheong (3:03s), masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Perlumbaan larian menara yang meletakkan Malaysia pada ranking ketiga dunia itu juga turut menarik kira-kira 200 peserta termasuk wakil dari Singapura, Taiwan, Britain, Nepal, Austria dan Kenya.

EXCO Kesihatan, Jamaliah Jamaluddin bergambar bersama pemenang selepas menyampaikan hadiah ketika Kejohanan Larian Menara Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 13 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
Aksi juara dunia larian menara, Soh Wai Ching menaiki 568 anak tangga ketika Kejohanan Larian Menara Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 13 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Pengarang :