AGENDAJENAYAH

Lelaki tergelincir ketika memancing ditemukan lemas

SEPANG, 14 JULAI: Lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir dan jatuh ke laut ketika memancing di Pantai Bagan Lalang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata kejadian itu berlaku jam 5 petang ketika mangsa yang berusia 27 tahun sedang memancing bersama anak saudara lelakinya.

“Polis kemudian menerima makluman kejadian itu pada 5.16 petang dan anggota bomba serta Jabatan Pertahanan Awam melaksanakan operasi menyelamat di kawasan itu.

“Mangsa ditemukan terapung berhampiran muara Bagan Lalang oleh nelayan yang melalui kawasan itu kira-kira 6 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada 6.20 petang dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk bedah siasat.

– BERNAMA


Pengarang :