GOMBAK, 14 JULAI: Dato’ Menteri Besar merasmikan Rewang Komuniti Strata peringkat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang berlangsung dua hari sejak semalam.
Dalam program di padang awam Taman Pinggiran Batu Caves, Dato’ Seri Amirudin Shari turut menyerahkan bantuan bakul makanan kepada 70 penduduk berpendapatan rendah (B40).
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/07/P_MBREWANGKOMUNITIMPS-11-500x333.jpg.webp)
Ahli Parlimen Gombak itu ketika ditemui berkata program yang bermula di Pandan Indah, diikuti Kota Damansara akan diteruskan ke Hulu Langat selepas ini.
“Ini merupakan penganjuran kali ketiga. Kita sasarkan 10 atau 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) akan anjurkan program ini dengan peruntukan RM500,000 setahun.
“Program ini bukan hanya dapat mendekatkan diri kepada masyarakat atau menjalankan program bersama-sama sebaliknya kita dapat tahu masalah dihadapi penduduk strata,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/07/P_MBJelajahParlimenGombak-3-500x333.jpg.webp)
Terdahulu, Amirudin dalam program Jelajah Parlimen Gombak meluang masa bersarapan dengan penduduk setempat di Suberi Nasi Kandar, Hulu Kelang sebelum meninjau program Selangor Saring di Dewan Orang Ramai Kampung Wira Damai, di sini.
Tahun lalu, program rewang itu diperkenal bagi memudahkan penduduk mendapat maklumat berhubung pentadbiran negeri yang mana Ampang dan Hulu Langat dipilih sebagai kawasan perintis.