Penduduk membuat pendaftaran bagi mendapatkan baucar Skim Mesra Usia Emas (SMUE) ketika Hari Prihatin Rakyat Parlimen Gombak: Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Gombak pada 28 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tambah baik SMUE, INSAN tahun depan, pastikan setiap rakyat peroleh manfaat

GOMBAK, 14 JULAI: Pentadbiran negeri mengkaji untuk menambah baik Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Insurans Am Selangor (INSAN) tahun depan bagi meningkatkan keberkesanan program itu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan penambahbaikan terhadap program bawah Iltizam Selangor Penyayang itu penting supaya manfaatnya dinikmati setiap lapisan rakyat negeri ini.

“Kita sudah buat INSAN dan SMUE tapi kita tengok pelaksanaannya ada kurang sikit. Misalnya SMUE, ramai warga emas gembira kerana dapat baucar Jom Shopping tiap-tiap tahun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis penyampaian sumbangan kemasyarakatan DUN Sungai Tua di Kampung Melayu Wira Damai, Gombak pada 14 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Apabila kita naikkan RM50 (jumlah baucar) ramai daftar, cuma khairat kematiannya kurang. Jadi tahun depan saya rasa sudah tiba masanya kita tambah lagi untuk khairat kematian bagi keluarga.

“Itu contoh kita sedang fikirkan bagaimana mahu tambah nilai program SMUE dan INSAN setelah kita cuba laksanakan,” katanya berucap pada program serahan sumbangan kemasyarakatan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai di sini hari ini.

Amirudin yang juga wakil rakyat Sungai Tua mengakui masih ramai rakyat Selangor belum mengetahui cara menuntut pampasan melalui skim perlindungan insurans am berkumpulan percuma.

“Jadi kita kena tukar format supaya memudahkan orang untuk daftar. Hatta selepas meninggal juga orang boleh daftar supaya waris dapat bantuan dan sokongan sewajarnya,” katanya.

Tahun lalu, seramai 263,141 orang mendapat manfaat SMUE manakala 6,331 keluarga menerima khairat kematian.

INSAN yang diperkenal sejak 1 Oktober 2022 pula memberi perlindungan insurans kemalangan diri berkumpulan secara percuma kepada enam juta rakyat berumur 30 hari hingga 80 tahun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama penerima sumbangan bencana pada majlis penyerahan sumbangan kemasyarakatan DUN Sungai Tua di Kampung Melayu Wira Damai, Gombak pada 14 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Pengarang :