Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan kemasyarakatan DUN Sungai Tua kepada Adnan Alwi, 63, di Kampung Melayu Wira Damai, Gombak pada 14 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Penerima insentif haji mahu guna bantuan RM1,000 buat kenduri doa selamat

GOMBAK, 15 JULAI: Penerima Insentif Haji Muassasah memuji dan menghargai komitmen Kerajaan Selangor menyediakan bantuan RM1,000 khusus kepada jemaah haji negeri ini.

Pensyarah, Saiful Aman Sulaiman, 44, yang selesai mengerjakan rukun Islam kelima akhir bulan lalu bercadang menggunakan insentif diterima hari ini untuk kenduri doa selamat.

“Alhamdulillah, terima kasih Menteri Besar Selangor (Dato’ Seri Amirudin Shari) beri sumbangan ini kepada kami. Insya-Allah dengan bantuan ini, kami berhajat untuk buat kenduri doa selamat dalam masa terdekat.

“Ia juga sebagai tanda syukur kerana urusan ibadah di tanah suci berjalan lancar walaupun berdepan pengalaman diusir askar-askar di sana,” katanya yang turut berpeluang bertemu pemimpin negeri semasa Jamrah.

Menetap di Taman Desa Indah di sini, bapa tiga anak itu antara 70 penerima Insentif Haji Muassasah dari kawasan Dewan Undangan Undangan (DUN) Sungai Tua yang disampaikan Amirudin semalam.

Bagi Adnan Alwi, 63, yang selamat kembali ke tanah air awal bulan ini berkata insentif itu akan digunakan untuk perbelanjaan harian.

Awalnya, bapa dua anak berkata dia dan isteri berhasrat menggunakan bantuan itu untuk ibadah korban sebelum berangkat ke Mekah 22 Jun lepas.

“Tetapi kami sudah dahulukan wang kami untuk berbuat demikian. Alhamdulillah, setidak-tidaknya kami boleh guna sumbangan ini untuk perkara lain.

“Berbanyak-banyak terima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana sudi beri bantuan sebegini. Kami terima dengan hati terbuka dan sangat puas hati,” katanya yang tinggal di Kampung Mahkota.

Pada 3 Mei, Kerajaan Negeri mengumumkan Insentif Haji Muassasah dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000 melibatkan 6,000 bakal jemaah haji tahun ini.

Ia melibatkan peruntukan berjumlah RM6 juta, meningkat tiga kali ganda berbanding jumlah insentif tahun lalu iaitu RM1.5 juta.


Pengarang :