Orang ramai yang mengikuti pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring DUN Sungai Tua di Dewan Orang Ramai Kg Melayu Wira Damai, Gombak pada 14 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
BERITA UTAMASELANGOR

Penduduk manfaat pemeriksaan kesihatan percuma, kesan awal penyakit

GOMBAK, 15 JULAI: Seorang peserta Selangor Saring yang berkunjung ke program pemeriksaan kesihatan anjuran Kerajaan Negeri itu kerana mahu sihat dan kuat seperti Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kung Eng Tiong, 49, berkata beliau amat mengagumi mantan perdana menteri itu yang dilihat masih sihat dan bertenaga meski usia sudah hampir menjangkau 100 tahun.

“Hari ini baharu pertama kali saya berkunjung ke sini selepas rakan ada kongsikan poster Selangor Saring menerusi kumpulan WhatsApp dan tanpa berfikir panjang terus ambil keputusan untuk datang.

Kung Eng Tiong,49 ketika program Selangor Saring DUN Sungai Tua di Dewan Orang Ramai Kg Melayu Wira Damai, Gombak pada 14 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Sebelum ini saya rajin juga pergi ke fasiliti kesihatan lain untuk periksa sekurang-kurangnya dua kali setahun. Penting jaga kesihatan dari sekarang nanti tua boleh sihat macam Tun M (Tun Dr Mahathir),” katanya.

Beliau antara lebih 200 peserta yang hadir ke program Selangor Saring Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua yang diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai di sini semalam.

Manakala, Ahmad Firman Mukhni, 26, mengambil peluang untuk ke program anjuran negeri kerana saringan yang ditawarkan itu secara percuma dan tidak sewajarnya dilepaskan rakyat.

“Kalau nak tunggu yang berbayar kadang-kala orang akan bertangguh-tangguh untuk periksa kesihatan tetapi kali ini Kerajaan Selangor sudah tawarkan ia percuma, patut ambil peluang ini.

“Saya memang suka buat pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali. Walaupun masih muda bagi saya penyakit tidak mengenal usia, kita tetap perlu mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Ahmad Firman Mukhni,26 ketika program Selangor Saring DUN Sungai Tua di Dewan Orang Ramai Kg Melayu Wira Damai, Gombak pada 14 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Kali pertama berkunjung ke Selangor Saring, seorang warga emas R Mahendran, 74, yang tiba seawal jam 8 pagi bersama rakannya pula begitu bersemangat untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

“Penting periksa kesihatan terutama buat yang sudah berusia seperti saya, kita perlu cakna dan ambil berat. Terima kasih Kerajaan Selangor anjur program seperti ini, harap diadakan lebih kerap,” katanya.

Menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2024, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM3.2 juta bagi meneruskan saringan kesihatan percuma.

Selepas ini, inisiatif Selangor Saring dijadual berlangsung pada 20 Julai di Dewan Serbaguna Kampung Kuantan (DUN Batu Tiga). Awal bulan ini, saringan kesihatan percuma itu telah diadakan di DUN Paya Jaras dan Dengkil.


Pengarang :