Adam Saffian Ghazali diumum sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Air Selangor berkuat kuasa 15 Julai 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENSISELANGOR

Adam Saffian Ghazali dilantik Ketua Pegawai Eksekutif baharu Air Selangor

SHAH ALAM, 15 JULAI: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengumumkan pelantikan Adam Saffian Ghazali selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa hari ini.

Air Selangor menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan Adam Saffian itu menggantikan Pemangku CEO Abas Abdullah yang berkhidmat dari 1 Januari 2023 hingga 30 Jun 2024.

Adam Saffian mempunyai pengalaman 24 tahun dalam industri perkhidmatan air dan utiliti serta telah memegang pelbagai jawatan penting antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Aliran Ihsan Resources Berhad, Pengurus Besar Projek Khas di MMC Corporation Berhad serta CEO Alam Flora Sdn Bhd.

Beliau juga merupakan lulusan Ijazah Sarjana dalam Cukai Gunaan University of New South Wales serta Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Perakaunan dan Kewangan) University of Technology Sydney.

“Adam Saffian juga merupakan Akauntan Bertauliah Australia dan New Zealand serta Institut Akauntan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Adam Saffian menerusi kenyataan sama turut menzahirkan rasa berbesar hati dan terujanya menyertai Air Selangor serta berusaha untuk memastikan setiap titis bermakna buat 9.3 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Bersama, kami akan memberi tumpuan untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan, pendekatan inovasi dan memastikan pengurusan air yang mampan untuk generasi kini dan akan datang,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :