Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap dalam majlis Malam Sambutan Jubli Perak Invest Selangor di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pada 15 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor sasar sumbang RM500 bilion kepada KDNK dalam tempoh tiga tahun

Oleh YASMIN RAMLAN

PETALING JAYA, 16 JULAI: Selangor menyasar menyumbang RM500 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam tempoh tiga tahun.

Dato’ Menteri Besar berkata Selangor tidak boleh leka dengan pencapaian sedia ada sebaliknya perlu bekerja lebih keras untuk merealisasikan hasrat itu.

“Saya percaya pasukan Invest Selangor yang diketuai oleh (ketua pegawai eksekutif) Datuk Hasan Azhari telah melakukan kerja yang luar biasa untuk membuatkan anda berasa seperti di rumah sendiri di Selangor.

“Tetapi walaupun kejayaan masa lalu boleh memberi kita ruang bernafas untuk meraikan, ia sama sekali tidak menjamin kejayaan masa depan.

“Itulah sebab utama kita perlu melihat ke luar sempadan Selangor, bukan berpuas hati sepenuhnya dengan ekonomi RM400 bilion, tetapi mencari jalan untuk membina ekonomi RM500 bilion dalam dua hingga tiga tahun akan datang,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam ucapannya di Sambutan Jubli Perak Invest Selangor di Hotel Sheraton di sini malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama pegawai dan kakitangan Invest Selangor dalam majlis Malam Sambutan Jubli Perak Invest Selangor di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pada 15 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau menambah, Selangor perlu meningkatkan kapasiti pengeluarannya bagi memenuhi keperluan tempatan sekali gus menjadi pangkalan strategik di Asia Tenggara dan rantau Asia yang lebih luas.

Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2 Julai menunjukkan Selangor sekali lagi menjadi penyumbang tertinggi kepada sumbangan KDNK sebanyak 25.9 peratus tahun lalu.

Meningkat 0.4 peratus berbanding 2022, nilai ekonomi Selangor juga buat pertama kali mencecah RM406.1 bilion, sekali gus menjadi negeri pertama di Malaysia melebihi paras nilai RM400 bilion.

Bercakap kepada pemberita, Amirudin menambah sejak 2018, Selangor mengekalkan pelaburan pembuatannya pada kadar tidak kurang RM12 bilion setahun, berbanding negeri lain yang lebih cenderung mengalami turun naik.

“Tetapi dengan strategi kami, kami memastikan aliran pelaburan yang konsisten ke negeri ini, mengekalkan ekosistem yang utuh. Ini dipantau oleh Invest Selangor, yang menyelaraskan usaha menarik pelaburan ke Selangor,” katanya selepas majlis itu.


Pengarang :