Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sentiasa menumpukan usaha memudahkan urusan kalangan perniagaan dan pembayar cukai. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Program Khas Pengakuan Sukarela LHDN kutip lebih RM512 juta

SHAH ALAM, 16 JULAI: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengutip RM512.6 juta hasil pelaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 yang berakhir Mei lalu.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata jumlah itu membabitkan 141,406 permohonan dengan 102,572 daripadanya merupakan pembayar cukai individu.

“Jumlah ini melibatkan taksiran cukai yang dilaporkan sebanyak RM1.29 bilion. Jumlah taksiran yang dibangkitkan didapati telah melepasi sasaran awal yang ditetapkan iaitu sebanyak RM1 bilion.

“Daripada jumlah taksiran tersebut, sebanyak RM512.6 juta telah berjaya dikutip,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (Tampin-BN) mengenai keberkesanan PKPS 2.0 di Dewan Rakyat, hari ini.

Amir Hamzah menambah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerima 1,542 permohonan pengakuan sukarela daripada pembayar cukai individu dan syarikat dengan jumlah cukai sebanyak RM229 juta.

Menurutnya, semua hasil kutipan digunakan semula untuk membiayai perbelanjaan negara yang diluluskan termasuk projek pembangunan awam seperti sekolah, universiti, hospital dan jalan raya.

“Hasil cukai yang dikutip daripada PKPS, akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan seperti mana lain-lain hasil cukai yang dikutip oleh kerajaan,” katanya.

PKPS 2.0 dilaksanakan LHDN dan JKDM dengan tawaran penalti pada kadar kosong peratus bagi pengakuan sukarela yang dibuat individu dan syarikat bermula 6 Jun 2023 hingga 31 Mei lalu.

Inisiatif yang diumum pada Belanjawan 2023 dibuat bagi memperluas jaringan pembayar cukai, meningkatkan tahap pematuhan cukai dan seterusnya meningkatkan kutipan hasil negara.


Pengarang :