Ahli keluarga dipercayai waris kepada Nur Farah Kartini Abdullah tiba untuk pengecaman mangsa di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh pada 16 Julai 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Nur Farah anak baik, bertanggungjawab terhadap keluarga

SUNGAI BULOH, 16 JULAI: Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah yang ditemukan mati dibunuh di Hulu Selangor petang semalam disifatkan anak yang baik dan bertanggungjawab terhadap keluarga.

Bekas kakak ipar mangsa Nor Amidah Mohd Ali, 36, berkata walaupun sudah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tahun lalu, namun gadis malang berusia 25 tahun itu tidak pulang ke Sarawak kerana hendak bekerja bagi membantu keluarga.

“Nur Farah Kartini anak perempuan tunggal dan walaupun anak bongsu daripada tujuh beradik, tetapi dia sangat bertanggungjawab. Kali terakhir dia menghubungi saya 5 Jun lalu bagi memaklumkan dia kehilangan dompet.

“Apabila saya tanya hilang kat mana tapi tiada jawapan daripadanya. Biarpun saya sudah berpisah dengan abangnya, namun hubungan saya dengan Nur Farah Kartini masih lagi erat,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.

Nor Amidah berkata dia terkejut apabila mendapat khabar tentang penemuan mayat bekas adik iparnya itu.

Sementara itu, abang Nur Farah Kartini, Mohd Farriza Azmi Abdullah memaklumkan jenazah adiknya mungkin dibawa pulang ke Miri Sarawak untuk dikebumikan.

Mohd Farriza Azmi berkata bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan ibunya yang akan tiba dari Miri malam ini.

“Jenazah mungkin dikebumikan di Kampung Lereng Bukit, Miri selepas semua urusan bedah siasat selesai, diharapkan semua selesai hari ini,” katanya.

Semalam, media melaporkan Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang pada Rabu lalu ditemukan mati di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor pada 6 petang.

Susulan itu, pihak polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun, semalam yang dipercayai teman lelaki mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek seorang anggota polis bertugas di sebuah balai polis di Perak kini direman tujuh hari bermula hari ini.

Sebelum ini, mangsa yang bekerja dengan sebuah syarikat kereta sewa di Tanjung Malim, Perak dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan pada 10 Julai lalu.

– BERNAMA


Pengarang :