SHAH ALAM, 16 JULAI: Tarikan pelancongan baharu merangkumi pelbagai segmen bakal merancakkan Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).
Menurut Tourism Selangor, produk agro pelancongan, taman tema baharu, zoo haiwan jinak dan tarikan disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) antara aktiviti menarik dan baharu untuk pelancong.
“Ia termasuk produk agropelancongan Sungai Panjang, Sabak Bernam dan produk di bawah GL Play by Gamuda Land seperti Gamuda Gardens, Gamuda Discovery Park, Skyline Luge dan Splash Mania.
“Taman tema baharu seperti SnoWalk Aurora i-City Shah Alam, TreeTop Adventure 1Utama dan Jungle Gym i-City Shah Alam turut menjadi tarikan.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/12/Waterworld-@-i-City-3-500x375.jpg.webp)
“Selain itu zoo haiwan jinak (petting zoo) seperti IOI City Farm, the Mins Damansara dan Just Farm Kota Damansara,” katanya kepada Selangorkini.
Katanya tarikan disediakan PBT Selangor akan turut menjadi produk menarik pelancongan termasuk Taman Kucing Cyberjaya (Majlis Perbandaran Sepang) dan Kajang Street Art (Majlis Perbandaran Kajang).
“Selain itu Laluan Seni Kuala Selangor (Majlis Perbandaran Kuala Selangor), Taman Kucing Klang (Majlis Bandaraya Diraja Klang) dan Catopia Shah Alam (Majlis Bandaraya Shah Alam),” katanya.
Katanya bagi mempromosi TMS2025, Tourism Selangor akan menyertai MATTA Fair pada September serta menganjurkan pameran pelancongan ‘Pusing Selangor Dulu’ dan pelancaran logo TMS2025 pada Oktober ini di Pasar Seni Kuala Lumpur.
“Selain itu, program skuad kembara sekolah melibatkan empat sekolah akan berlangsung pada 24 Julai hingga November nanti,” katanya.
Katanya kerjasama dengan penggiat industri pelancongan, pihak syarikat penerbangan dan rakan kongsi strategik turut dilaksanakan untuk meningkatkan capaian pemasaran, kualiti perkhidmatan serta menawarkan pakej menarik bagi menyemarak TMS2025.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/03/pelancongan-500x339.jpg.webp)