Ahli keluarga di hadapan Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh ketika bedah siasat dijalankan ke atas mayat Nur Farah Kartini, 25,, pada 16 Julai 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Polis tunggu laporan makmal tentukan punca kematian Nur Farah

SHAH ALAM, 16 JULAI: Polis menunggu laporan makmal bagi menentukan punca kematian berhubung kes pembunuhan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Farah Kartini Abdullah.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata proses bedah siasat telah selesai dilakukan oleh Pakar Patologi Forensik Hospital Sungai Buloh 5.30 petang tadi.

“Pihak polis juga masih menjalankan siasatan lanjut dan memohon saksi kejadian tampil ke balai berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau dalam masa sama turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan gambar atau melakukan perkara yang boleh mengganggu siasatan kes berkenaan.

Terdahulu, suspek yang merupakan seorang anggota polis direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Media sebelum ini melaporkan mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak Rabu lalu ditemukan 6 petang semalam di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, Hulu Selangor.

Gadis berusia 25 tahun berasal dari Miri, Sarawak itu dilaporkan gagal dikesan selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan berhampiran Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak.

– BERNAMA


Pengarang :