Pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim bercakap kepada media ketika sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Faisal terkenang detik Pan Gon titip kata semangat di hospital

SHAH ALAM, 17 JULAI: Keputusan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya Kim Pan Gon meletak jawatan khabar menyedihkan buat pemain Selangor FC Muhammad Faisal Abdul Halim atau Faisal Halim.

Faisal berkata ia mendukacitakan namun akan terus menyokong apa jua yang dilakukan pengendali dari Korea Selatan itu.

“Berita menyedihkan. Saya masih ingat dua bulan lalu jurulatih datang ke hospital memberikan saya semangat serta sokongan.

“Jurulatih berkata pada saya, “Faisal, saya mahu lihat awak kembali dalam skuad kebangsaan dengan lebih kuat lagi. Saya akan terus memberi sokongan dan saya percaya anda akan kembali dengan lebih kuat lagi,” katanya menerusi laman Instagram beliau semalam.

Faisal turut mengucapkan terima kasih kepada Pan Gon atas segalanya.

Pan Gon meletakkan jawatannya berkuatkuasa serta-merta dalam satu sidang media di Wisma FAM semalam.

Kekosongan itu diisi Pau Marti Vicente selaku pemangku Ketua Jurulatih Kebangsaan dengan dibantu E Elavarasan sebagai Penolong Ketua Jurulatih Kebangsaan.

Faisal bermain di bawah kendalian Pan Gon pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Oman, Mac lalu.

Bagaimanapun Faisal terlepas aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 berdepan Kyrgyzstan dan Taiwan, bulan lalu selepas mengalami kecederaan lecur tahap empat susulan disimbah asid.


Pengarang :