SHAH ALAM, 17 JULAI: Kadar kolesterol dan gula tinggi antara gejala paling banyak dikesan dalam program Selangor Saring anjuran Kerajaan Negeri sehingga Julai.
EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin berkata gejala tersebut membabitkan hampir separuh daripada sejumlah 4,938 peserta yang menyertai saringan kesihatan itu.
“Hasil konsultasi susulan di klinik panel mendapati kandungan kolestrol yang tinggi dalam darah dan gula yang tinggi dalam urin antara penyakit paling banyak ditemui.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/02/YB-Jamaliah16-500x382.jpg.webp)
“Ia merupakan penyebab kepada penyakit kencing manis, buah pinggang kronik dan serangan sakit jantung,” katanya kepada Selangorkini.
Jamaliah berkata keputusan saringan dihantar menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan peserta perlu menjalani pemeriksaan susulan di klinik panel berhampiran.
Program Selangor Saring bawah Iltizam Selangor Penyayang menawarkan pemeriksaan tekanan darah, air kencing dan kandungan gula secara percuma di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2024, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM3.2 juta bagi meneruskan saringan kesihatan percuma tahun ini.