Ahli keluarga meninggalkan Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh selepas selesai proses bedah siasat mayat Nur Farah Kartini, 25, pada 16 Julai 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mayat dijumpai reput, punca kematian Nur Farah Kartini belum disahkan

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Punca kematian Nur Farah Kartini Abdullah, 25, masih belum dapat disahkan berikutan bahagian dada dan mukanya yang reput ketika dijumpai.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pihak Pakar Patalogi Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh memerlukan keputusan analisis makmal terhadap beberapa sampel biologi yang diambil pada mayat untuk mengenal pasti punca kematian.

“Pakar belum dapat sahkan sebab kematiannya buat masa ini kerana mayat yang sudah reput terutama di bahagian dada serta muka. Selepas dapat keputusan analisis makmal, barulah pakar dapat putuskan punca kematian,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Hussein turut mengesahkan sebuah kereta jenis Toyota, milik suspek yang juga kenalan mangsa telah dirampas untuk siasatan lanjut.

Mayat Nur Farah Kartini, 25, dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang, pada Isnin.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai lepas selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga seorang anggota polis bertugas di Perak telah ditahan dan direman hingga 22 Julai ini untuk membantu siasatan berkaitan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA

 


Pengarang :