Pengerusi Mais Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berucap sempena pelancaran Kad Hibah dan Bulan Hibah Selangor 2024 di Masjid Negeri, Shah Alam pada 17 Julai 2024. Foto ihsan Mais
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais adakan mesyuarat khas 24 Julai bincang isu Ustaz Don

SHAH ALAM, 17 JULAI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan mengadakan mesyuarat khas pada 24 Julai bagi membincangkan isu pentauliahan termasuk membabitkan penceramah Don Daniyal Don Biyajid.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menjelaskan pihaknya menerusi Jawatankuasa Tauliah sedang meneliti kenyataan bertulis yang diterima daripada pendakwah tersebut, baru-baru ini.

“Kita belum berjumpa Ustaz Don secara fizikal tetapi keterangan bertulis sudah diterima dan kini Jawatankuasa Tauliah Mais sedang meneliti. Insya-Allah, kita akan buat keputusan seadil-adilnya.

“Pada 24 Julai ini akan diadakan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tauliah bagi memutuskan beberapa isu aduan termasuk isu Ustaz Don dan beberapa pendakwah bertauliah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kad Hibah dan Bulan Hibah Selangor 2024, sekali gus merasmikan Seminar Hibah: Sayang Jangan Sampai Melayang di Masjid Negeri, di sini hari ini.

Abdul Aziz menambah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut menasihatkan Mais supaya membuat penilaian dengan teliti, berhati-hati dan menyeluruh.

“Apabila seseorang penceramah itu keluar tauliah, kita tidak mahu mereka mengajar cara tidak betul atau tidak sebagaimana seperti temu duga. (Justeru), jika melanggar peraturan, kita akan tamatkan (tauliah) mereka atau gantung dahulu seperti Ustaz Don,” katanya.

Pada 5 Jun, Ustaz Don direhatkan daripada bersiaran dalam rancangan Salam Baitullah di Radio Televisyen Malaysia (RTM) berikutan dakwaannya berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW.

Sehari selepas bersiaran semula pada 13 Jun, RTM kemudian menamatkan khidmat penceramah itu sebagai pengacara program selepas beliau mengingkari arahan penerbit dan tidak mematuhi skrip.

Perkongsian penceramah itu dipertikai apabila menyentuh hadis yang mengatakan memandang pada wajah guru lebih baik daripada menyedekahkan 1,000 ekor kuda di jalan Allah.

Pada 21 Jun, Jais mengarahkan semua agensi dan rumah ibadat menangguhkan atau tidak mengundang Ustaz Don Daniyal untuk mengajar atau apa-apa perkara berkaitan Islam di premis masing-masing.

Keputusan ini susulan isu pengajaran atau ceramah agama Islam disampaikannya disyaki melanggar beberapa ketetapan dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

 


Pengarang :