Ahli keluarga dipercayai waris kepada Nur Farah Kartini Abdullah tiba untuk pengecaman mangsa di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh pada 16 Julai 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Jenazah Nur Farah Kartini dikebumi di Pekan, Pahang

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Jenazah mangsa bunuh Nur Farah Kartini Abdullah dijangka dikebumikan di Pekan, Pahang selepas dituntut ahli keluarganya di hospital di sini hari ini.

Abang mangsa, Mohd Fariza Amir Abdullah, 28, ketika dihubungi media berkata lokasi sebenar pengebumian adik bongsunya itu akan dimaklumkan kelak.

Sementara itu, petugas media berkumpul sejak 8 pagi di sekitar perkarangan Unit Forensik Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan perkembangan berkaitan kes berkenaan.

Mayat Nur Farah Kartini, 25, dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang Isnin lalu.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Susulan itu, lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak ditahan dan direman sehingga 22 Julai ini untuk membantu siasatan berkaitan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :