Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (dua, kiri) melancarkan Kad Hibah dan Bulan Hibah Selangor 2024 di Shah Alam pada 17 Julai 2024. Foto Mais
AGENSISELANGOR

Mais saran umat Islam bahagi harta secara hibah ketika masih sihat

SHAH ALAM, 17 JULAI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menggalakkan orang ramai membuat urusan pembahagian harta secara hibah sementara masih sihat.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata hibah merupakan satu bentuk pengurusan dan pelengkap kepada sistem pengagihan harta yang dianjurkan Islam.

“Selain pembahagian harta secara faraid, kita juga boleh melakukan pemberian harta dalam bentuk hibah sementara masih hidup, sihat dan waras.

“Hibah merupakan pilihan paling tepat dan tiada had umur. Ia terpulang kepada pemilik harta itu sendiri untuk melaksanakannya.

“Hibah juga merupakan satu bentuk perancangan awal dalam pewarisan harta berlandaskan hukum syarak serta kebajikan dan ia boleh memupuk kasih sayang dalam institusi kekeluargaan,” katanya.

Seramai 200 peserta dari pelbagai agensi dan organisasi hadir ke Seminar Hibah : Sayang Jangan Sampai Melayang di Masjid Negeri Shah Alam pada 17 Julai 2024. Foto Mais

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Kad Hibah dan Bulan Hibah Selangor 2024 sekali gus merasmikan Seminar Hibah : Sayang Jangan Sampai Melayang di Masjid Negeri di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata Kad Hibah dilancarkan sebagai satu pengenalan identiti penghibah yang berdaftar dengan Mais selain memudahkan rujukan dokumentasi.

“Mais diamanahkan untuk mentadbir hal ehwal Islam dan kita komited melaksanakan proses pengisytiharan hibah dan pindah milik harta berlaku secara adil, telus, profesional dan patuh syariah,” katanya.

Sejak 2006 sehingga kini, 5,000 dokumen hibah dikendalikan Mais termasuk agensi itu turut menambah baik cara pendaftaran secara dalam talian pada 1 Jun 2022 menerusi Sistem Wasiat dan Hibah.

Terdahulu, kira-kira 200 peserta dari pelbagai agensi dan organisasi hadir ke seminar yang menghimpunkan empat panel pakar untuk mendedahkan berkaitan kepentingan hibah.

Mais turut melancarkan Bulan Hibah Selangor 2024 sepanjang bulan Muharam 1446H dengan pelbagai program antaranya Kuliah Maghrib Khas Hibah, Forum Perdana Hibah dan Hari Bersama Baitulmal.


Pengarang :