AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

45 peserta bersaing dalam sayembara deklamasi puisi, pemenang wakili negeri

SHAH ALAM, 17 JULAI: Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan berlangsung dua hari mulai 20 Julai di Pustaka Raja Uda di sini bagi memilih wakil Selangor dalam pertandingan peringkat kebangsaan.

Pengarah Festival Puisi Selangor Azree Ariffin memberitahu seramai 45 peserta bersaing dalam saringan pada 20 Julai manakala pertandingan akhir berlangsung keesokannya.

Beliau juga menjelaskan Selangor bakal menjadi tuan rumah sayembara tahunan ke-38 anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) yang dijadual pada 23 Ogos.

Katanya, pelbagai acara diadakan antaranya dendangan lagu puisi, jualan buku, forum dan berbalas pantun manakala penyampaian hadiah disempurnakan EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah.

Tiga Sasterawan Negara, Datuk Zurinah Hassan, Datuk Dr Siti Zainon dan Dato’ Rahman Shari, terlibat dalam satu daripada tujuh forum bertajuk Menenun Damai Melalui Kata pada 21 Julai.

Berikut tajuk forum lain:

– Penghayatan Naskhah dalam Deklamasi Puisi dan Lakonan
– Puisi Berseni Wadah Pemantapan Sastera
– Puisi Mengenyangkan Perut yang Lapar
– Pantun Menguji Pemantun Teruji
– Menyemarakkan Sastera di Negeri Selangor

Pengerusi Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Dato’ Dr Anwar Ridhwan yang juga Sasterawan Negara turut hadir dalam festival yang dibawa Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor.

Program itu dikendali Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (Kemudi) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) serta Gapena.

Orang ramai khususnya peminat seni dan budaya boleh mengikuti siaran langsung peringkat akhir melalui Facebook PPAS dan DBP.


Pengarang :