Foto Arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Wanita rugi RM105,650 selepas terperdaya tawaran kerja menerusi WhatsApp

JOHOR BAHRU, 17 JULAI: Wanita kerugian RM105,650 selepas terperdaya dengan tawaran kerja dalam talian tidak wujud menerusi aplikasi WhatsApp, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata mangsa yang berusia 41 tahun menerima pautan yang menawarkan peluang pekerjaan secara dalam talian daripada ‘Luxe Legacy’, selain menjanjikan komisen bagi setiap tugasan yang disiapkan.

Beliau berkata tawaran itu menjanjikan pulangan modal 10 hingga 15 peratus daripada modal yang dilaburkan.

“Mangsa yang tertarik dengan komisen serta tugas mudah yang ditawarkan telah mendaftar sebelum melakukan 10 transaksi ke lima akaun berbeza yang diberikan dengan jumlah keseluruhan modal RM105,650, bermula Khamis hingga Sabtu lalu.

“Bagaimanapun, mangsa menyedari ditipu apabila mendapati laman web terbabit dan segala perbualan disekat sebelum membuat laporan polis semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan juga meliputi sama ada wujud penglibatan keldai akaun.

– BERNAMA


Pengarang :