Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul ketika Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen pada 10 Julai 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Wajib buat saringan kesihatan, elak kes 11 ahli parlimen ‘tumbang’

SHAH ALAM, 17 JULAI: Semua ahli parlimen diwajibkan menjalani saringan kesihatan selewat-lewatnya pada 11 November ini berikutan insiden 11 wakil rakyat ‘tumbang’ dalam tempoh 15 tahun.

Boleh membuat ujian di mana-mana klinik Parlimen atau kemudahan swasta, Yang Dipertua Dewan Rakyat menegaskan nama wakil rakyat yang gagal mematuhi arahan itu akan dipaparkan di laman web.

Tan Sri Johari Abdul menambah butiran yang diperlukan untuk saringan kesihatan itu juga terkandung dalam surat yang dikeluarkan kepada ahli parlimen baru-baru ini.

“Saringan perubatan ini diwajibkan kepada semua ahli parlimen dan tarikh terakhir ialah Isnin, 11 November. Mereka dibenarkan membuat saringan di klinik Parlimen atau mana-mana kemudahan swasta.

“Semua wakil rakyat juga perlu mendapatkan maklumat lanjut daripada ketua klinik Parlimen dan Penasihat Kesihatan Parlimen Dr Murugesu Raju,” katanya sebelum memulakan sesi Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Johari lagi, arahan itu berikutan kebimbangan pihaknya melihat ramai ahli parlimen mengalami masalah kesihatan sepanjang Dewan Rakyat berlangsung.

“Saringan akan banyak membantu dalam menilai status kesihatan ahli parlimen dan membolehkan langkah pencegahan segera diambil,” jelasnya.


Pengarang :