Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim serta EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi menyambut ketibaan pasukan Selangor Red Giants (SRG) yang menjuarai kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang di Riyadh Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 17 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Selangor bangunkan akar umbi e-sukan di daerah, PBT untuk belia

SEPANG, 17 JULAI: Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan pembangunan akar umbi e-sukan di peringkat daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata pembangunan melalui penganjuran siri kejohanan untuk memberi ruang kepada belia menonjolkan bakat serta menilai potensi seterusnya diserap mewakili pasukan Selangor beraksi di peringkat antarabangsa.

“Di Selangor, pembangunan e-sukan telah bermula sejak 2015. Hasil cetusan dan usaha Dato’ Menteri Besar ketika menjadi EXCO Sukan ketika itu menjadikan Selangor negeri pertama meneroka sukan ini sebagai segmen penting pembangunan belia.

EXCO Belia Sukan Mohd Najwan Halimi ditemui media selepas menyambut ketibaan pasukan Selangor Red Giants (SRG) yang menjuarai kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang di Riyadh Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 17 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Negeri mula menganjurkan kejohanan seperti Selangor International Cyber Games. Kita dapat lihat potensi pembangunan e-sukan ini.

“Ia melibatkan proses panjang sekali gus terbukti kejayaan Selangor Red Giants (SRG) bergelar junia dunia di kejohanan Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024. Momentum akan diteruskan hingga peringkat akar umbi sebagai tanda sokongan berterusan Kerajaan Negeri untuk pembangunan ekosistem e-sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menyambut ketibaan pasukan SRG di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Najwan memaklumkan Kerajaan Negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntukkan dana RM200,000 hingga RM300,000 setiap tahun untuk pengurusan pasukan SRG.

“Bantuan kewangan buat pengurusan kelab seperti latihan, emolumen, pemakanan, program kecergasan mental dan fizikal termasuk pembangunan akademik dan sahsiah.

“Kita tidak mahu mereka ketinggalan dalam akademik dengan mengimbangi kejayaan dalam sukan. Saya juga telah meminta pengurusan kelab untuk memberi bimbingan kepada pemain mengurus hadiah kemenangan dengan baik,” ujarnya.

SRG melakar sejarah tanah air apabila menjuarai kejohanan MSC hasil kemenangan 4-3 ke atas pasukan Filipina Falcons AP Bren Sport di Amazon Arena Riyadh.

Mereka membawa pulang trofi kejuaraan selain wang tunai AS$1 juta (RM4.6 juta) manakala Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman selaku pemain paling bernilai memenangi AS$50,000 (RM235,000).

EXCO Belia dan Sukan Najwan Halimi bergambar bersama pemain pasukan Selangor Red Giants (SRG) yang menjuarai kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang di Riyadh, Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 17 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Pengarang :