Pekerja Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) menurap laluan rosak di B13 Jalan Serdang Perdana pada 16 Julai 2024 selepas 24 jam menerima aduan orang ramai. Foto X Infrasel
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Infrasel baiki lampu, jalan rosak di tiga lokasi selepas 24 jam terima aduan

SHAH ALAM, 17 JULAI: Beberapa laluan dan lampu jalan rosak siap dibaiki syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) selepas 24 jam menerima aduan orang ramai di laman X.

Infrasel memaklumkan, pihaknya siap menurup laluan rosak di B13 Jalan Serdang Perdana semalam dan membaiki lampu jalan rosak di (B13) Jalan Ayer Itam, Sepang, kelmarin.

Syarikat itu turut memaklumkan, laluan rosak di Jalan Utama Kelompok, Pulau Meranti, Sepang juga siap diturap pada 13 Julai.

“Teruskan membuat aduan dengan memuat naik ciapan di laman X bersama hashtag #INFRASEL #NamaJalan #Daerah,” menurut agensi itu di laman X.

Pekerja Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) membaiki lampu jalan di (B13) Jalan Ayer Itam, Sepang pada 16 Julai 2024 selepas 24 jam menerima aduan orang ramai. Foto X Infrasel

Infrasel diberi tanggungjawab menyenggara jalan negeri seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor demi keselesaan pengguna.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar menggalakkan orang ramai melaporkan kejadian jalan rosak di komuniti masing-masing menerusi laman X.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, proses pelaporan kerosakan jalan di Selangor dipermudah dengan aduan di platform berkenaan sebelum ditapis dan disemak secara automatik.


Pengarang :