Selangor Red Giants meraikan kemenangan selepas muncul juara kejohanan Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 di Riyadh, Arab Saudi pada 14 Julai 2024. Foto Facebook Esports World Cup
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Raja Muda sifatkan kemenangan Selangor Red Giants luar biasa, bersejarah

SHAH ALAM, 17 JULAI: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor menyifatkan kemenangan pasukan Selangor Red Giants (SRG) dalam kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang (MLBB) di Arab Saudi sebagai kejayaan luar biasa dan pencapaian bersejarah.

Tengku Amir Shah yang merupakan pemilik SRG bertitah pasukan tersebut bukan sahaja mempamerkan keberanian, kegigihan dan keazaman semasa kejohanan tetapi sejak memulakan projek e-sukan pada 2023.

“Kita merupakan pasukan Malaysia pertama yang memenangi kejohanan MLBB S-Tier bertaraf antarabangsa. Anda semua telah mempamerkan keberanian, kegigihan dan keazaman bukan sahaja semasa MSC 2024 tetapi sejak memulakan projek e-sukan pada 2023.

“Kalian berjaya mengatasi segala rintangan di setiap peringkat, menakluki pelbagai halangan dan cabaran serta mencapai kejayaan demi kejayaan di luar sangkaan ramai sehingga dinobatkan sebagai Juara Dunia.

“Anda telah membawa kebanggaan kepada seluruh negara dan meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai sebuah kuasa yang dihormati dan digeruni dalam arena permainan MLBB antarabangsa,” titah Baginda menerusi hantaran di Facebook Selangor FC.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim serta EXCO Sukan Najwan Halimi menyambut ketibaan pasukan Selangor Red Giants (SRG) yang menjuarai kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang di Riyadh, Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 17 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Tengku Amir Shah yang juga Pengerusi Selangor FC bertitah pencapaian SRG adalah hasil usaha dan disiplin pasukan yang giat berlatih dan berjuang tanpa lelah sepanjang 18 bulan.

“Beta amat bangga dengan SRG atas segala yang mereka capai dan akan terus capai. Pasukan ini telah menyatupadukan dan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk memasang impian tinggi serta mengejar kecemerlangan dalam apa jua yang dilakukan.

“Beta harap detik bersejarah buat Malaysia ini akan menggalakkan lebih ramai untuk terlibat dalam bidang e-sukan atau dalam apa jua bidang yang diceburi dengan keyakinan dan kepercayaan bahawa rakyat Malaysia juga boleh menjadi juara dunia,” titah Baginda.

SRG melakar sejarah tanah air apabila menjuarai kejohanan MSC hasil kemenangan 4-3 ke atas pasukan Filipina Falcons AP Bren Sport di Amazon Arena Riyadh.

Mereka membawa pulang trofi kejuaraan selain wang tunai AS$1 juta (RM4.6 juta) manakala Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman selaku pemain paling bernilai memenangi AS$50,000 (RM235,000).

Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman terpilih pemenang anugerah pemain paling bernilai kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang di Riyadh, Arab Saudi pada 14 Julai 2024. Foto Instagram srg.sekyssss

 


Pengarang :