Antara peserta yang hadir pada Seminar Hibah: Sayang Jangan Sampai Melayang di Dewan Syarahan dan Muzakarah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 17 Julai 2024. Foto Mais
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mudahkan masyarakat, Mais tambah baik pengurusan wasiat, hibah

SHAH ALAM, 18 JULAI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memudahkan masyarakat dengan mengendali 5,000 dokumen pengurusan harta pusaka dan hibah sejak 2006.

Pengarah Baitulmal Mais Indera Shahril Mohd Shahid berkata pihaknya turut menambah baik kaedah pendaftaran secara dalam talian menerusi Sistem Wasiat dan Hibah (Siswa) pada 1 Jun 2022.

“Perkhidmatan pengurusan hibah di Mais dilaksanakan bermula 2006 secara manual dan ia dikendalikan oleh Bahagian Mal yang kemudian dinaik taraf sebagai Sektor Baitulmal.

“Pada Jun 2022, Sektor Baitulmal mengorak langkah mewujudkan perkhidmatan wasiat dan hibah Siswa yang lebih komprehensif menggabungkan dua permohonan wasiat dan hibah dalam satu sistem pintar,” katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan pembentangan bertajuk Pengalaman Pelaksanaan Hibah di Mais menerusi Seminar Hibah: Sayang Jangan Sampai Melayang di Dewan Syarahan dan Muzakarah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Indera Shahril menjelaskan antara kelebihan sistem Siswa antaranya permohonan dan kelulusan 100 peratus dalam talian, akad hibah secara sidang video dan penggunaan tandatangan digital.

Beliau turut menasihatkan umat Islam yang keliru berhubung urusan pembahagian harta agar merujuk pihak berkaitan seperti Mais.

“Soal urusan harta jangan dibawa main kerana adakalanya boleh timbul pertelingkahan antara adik-beradik mahupun saudara-mara. Mais berharap masyarakat mempunyai kesedaran tinggi dalam urusan rancang harta.

“Justeru, Mais diberi amanah dan tanggungjawab bagi menjadi pemudah cara keharmonian antara penghibah dan penerima hibah,” katanya.

Kira-kira 200 peserta dari pelbagai agensi mengikuti seminar yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 5 petang bertujuan meningkatkan kefahaman hibah mengikut hukum syarak.

Selain Indera Shahri, tiga ahli panel lain membuat pembentangan bertajuk Hibah Menurut Hukum Syarak; Pengesahan Hibah Menurut Undang-undang Syariah Malaysia dan Amalan Pelaksanaan Hibah di Mahkamah Syariah Malaysia.

 

 


Pengarang :